comscore
Tumpuan :
Nasional

Murid 10 tahun meninggal dunia akibat asma 

JASIN: Seorang murid Tahun Empat di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulai, Serkam di sini meninggal dunia selepas mengalami asma teruk, hari ini.

Allahyarham Nor Shahirah Abdullah Rahman, 10 yang tinggal di Kampung Pulai Darat, di sini dikatakan mengalami batuk dan sesak nafas kira-kira jam 5 pagi sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Umbai untuk rawatan.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem, berkata sebaik tiba di klinik berkenaan, pegawai perubatan mendapati tiada sebarang tindak balas daripada Nor Shahirah.

Katanya, pegawai perubatan kemudian mengesahkan kematian Allahyarham pada 9.45 pagi.

“Hasil maklumat yang diterima, Nor Shahirah mengalami asma sejak kecil dan tinggal dalam sebuah keluarga yang serba kekurangan.

“Saya agak dukacita apabila dimaklumkan kesempitan hidup menyebabkan beliau lewat untuk mendapatkan rawatan.

“Bagaimanapun kerajaan negeri bersimpati dengan keadaan itu dan berharap keluarga Nor Shahirah tabah menghadapi ujian ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau turut meminta ibu bapa yang mempunyai anak mengalami asma supaya mendapatkan rawatan ke klinik, termasuk mendapatkan rawatan susulan bagi mengelakkan penyakit berkenaan bertambah teruk.

Sementara itu, jenazah Allahyarham Nor Shahirah di bawah ke Hospital Jasin untuk dibedah siasat dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pulai selepas Isyak, malam ini.

Terdahulu tular di kumpulan aplikasi WhatsApp mengenai kematian kanak-kanak berkenaan.

Kanak-kanak berkenaan dikatakan pintar di sekolah selain disenangi guru serta rakan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini