comscore
Tumpuan :
Nasional

Murid dakwa cedera dirotan guru besar

Murid mendakwa cedera di badan dan muka akibat dirotan guru besar. – FOTO NSTP

SEGAMAT: Seorang pelajar Tahun Lima di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Jementah, di sini mendakwa cedera di badan dan muka akibat dirotan guru besar sekolah berkenaan selepas gagal menyiapkan kerja sekolah.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, maklumat kejadian itu diterima menerusi laman Facebook Polis Daerah Segamat, jam 11 malam semalam.

Susulan itu, pihaknya telah meminta mangsa hadir ke balai polis bagi membuat laporan berhubung kejadian.

“Pada jam 12.10 pagi ini, satu laporan polis telah dibuat oleh ibu mangsa mengatakan anaknya yang merupakan pelajar Tahun Lima sekolah itu mengalami cedera pada bahagian leher kiri, bahu kiri dan calar di muka akibat dirotan seorang Guru Besar wanita berusia 50-an.

“Siasatan awal mendapati pelajar itu telah dirotan oleh guru berkenaan disebabkan mangsa gagal menyiapkan kerja sekolah dan bersikap sambil lewa semasa sesi pembelajaran di sekolah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, polis telah mengambil keterangan guru besar berkenaan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Ahmad Zamry menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi  berhubung insiden itu.

Polis turut menyeru orang ramai terutama ibu bapa yang mengetahui anak mereka menjadi mangsa keganasan atau dibuli di sekolah agar segera menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.

Loading...
Terkini