KOTA BHARU: Kanak-kanak termasuk murid berusia 12 tahun dan ke bawah perlu diiringi ibu atau bapa yang mempunyai kerakyatan Malaysia setiap kali keluar masuk melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS).
Timbalan Pengarah (Pengurusan) Jabatan Imigresen Kelantan, Nik Akhtarulhaq Nik Abdul Rahman berkata, begitu juga dengan murid Malaysia yang tinggal di Golok, Thailand dan melalui ICQS untuk ke sekolah di Rantau Panjang, bermula 1 Disember ini.
Bagi yang berusia 13 tahun ke atas, katanya mereka tidak perlu lagi diiringi ibu atau bapa memandangkan sudah mampu mempunyai pas sempadan sendiri.
“Bagi kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah, ibu atau bapa mereka yang mempunyai kerakyatan Malaysia perlu membuat pas sempadan dan nama anak dimasukkan dalam pas sempadan penjaga mereka.
“Jadi bermula 1 Disember depan, murid yang tinggal di Thailand dan bersekolah di Rantau Panjang, Kelantan, bergantung pada permohonan pas sempadan di bawah ibu atau bapa (warga Malaysia), mereka perlu diiringi ibu atau bapa setiap kali keluar masuk melalui ICQS,” katanya ketika dihubungi BH.
Ditanya sama permohonan mendapatkan pas sempadan meningkat susulan larangan rentas sempadan menggunakan pangkalan haram yang akan dikuatkuasakan Disember ini, beliau memaklumkan, ia masih seperti biasa dan tidak menunjukkan peningkatan.
“Mengikut semakan data permohonan, tidak ada peningkatan lagi untuk permohonan pas sempadan, masih sekitar 300 hingga 400 sehari di semua pejabat Imigresen. Namun kita terima banyak pertanyaan berkait prosedur pemohonan pasport antarabangsa,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, seramai 303 murid dan pelajar yang tinggal di Thailand menggunakan pangkalan haram Sungai Golok untuk ke sekolah di Rantau Panjang, diberi empat pilihan sebelum pelaksanaan larangan rentas sempadan bermula 1 Disember depan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat dilaporkan berkata, empat pendekatan berkenaan adalah pelajar disaran tinggal di asrama atau menumpang asrama berdekatan sekiranya asrama di sekolah mereka penuh atau tiada kemudahan itu.
Pelajar juga disaran menyewa rumah sekitar sekolah dan pilihan terakhir, perlu menggunakan ICQS untuk berulang alik dari rumah ke sekolah.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.