Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Murid dibenarkan untuk memakai pakaian tradisi yang bersesuaian dan sopan sewaktu menghadiri aktiviti kebudayaan dan kesenian di institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan (KPM).
KPM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, kebenaran itu selari Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Bil. 3/1984: Garis Panduan Mengenai Aktiviti-Aktiviti Kebudayaan di Sekolah-Sekolah.
“KPM sentiasa menggalakkan penglibatan murid dalam aktiviti kebudayaan dan kesenian yang bertujuan untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu sebagai respons kepada laporan beberapa portal berita yang mendakwa terdapat pihak sekolah menengah yang terletak di Lembah Klang menghalang pelajarnya daripada memakai pakaian tradisional kaum lain semasa sambutan Hari Kebangsaan.
Malah pelajar sekolah tersebut berkata, pihak sekolah juga tidak membenarkan pelajar berbangsa India memakai sari bagi menghadiri sambutan berkenaan.
Pelajar India yang memakai tali suci di pergelangan tangan juga diarah supaya menanggalkannya.
Mengulas mengenai perkara itu, jelas KPM, pihak sekolah tersebut telah mengambil langkah proaktif dengan mengadakan perbincangan bersama wakil ibu bapa dan murid.
Ujarnya, penambahbaikan kepada penganjuran aktiviti yang dirancang telah dilakukan oleh pihak sekolah dan isu berbangkit dapat diselesaikan dengan baik.
“Murid sekolah terbabit dibenarkan untuk memakai pakaian tradisi mengikut kaum masing-masing dan pakaian tradisi kaum lain.
“Kebenaran juga diberi kepada murid untuk memakai hiasan tambahan seperti gelang, rantai dan aksesori mengikut kesesuaian pakaian tradisi,” menurut kenyataan itu.