JOHOR BAHRU: Khidmat kaunseling akan diberikan kepada keluarga murid yang cedera, disyaki dirotan guru madrasah dengan menggunakan batang paip polyvinyl chloride (PVC) di Sik, Kedah, 11 November lalu.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihaknya sudah mengeluarkan arahan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Jelasnya usaha kaunseling itu diharap dapat meredakan trauma keluarga murid terbabit terutama mangsa dan ibunya.
“Setakat ini, kes dera berkenaan masih dalam siasatan polis dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.
“Bagi keluarga terutama mangsa dan ibu mangsa, kita akan susuli dengan kaunseling oleh JKM,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Kanak-Kanak Peringkat Kebangsaan 2023 di sini, hari ini.
Ahad lalu, Ketua Polis Daerah Sik Deputi Supritendan Abdull Razak Osman mengesahkan sudah menahan lelaki berusia 27 tahun yang dipercayai tenaga pengajar madrasah terbabit.
Tangkapan dilakukan tidak sampai 24 jam selepas laporan dibuat ibu mangsa pada 9.24 malam, 11 November lalu.
Hasil siasatan mendapati suspek menggunakan sebatang paip PVC yang mengakibatkan mangsa mengalami lebam serta bengkak.