Oleh Raja Nurul Antasha Raja Zaman
BATU PAHAT: Hari pertama sesi persekolahan 2023/2024 pastinya menjadi kenangan buat murid Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Pandan di Parit Jawa di sini, kerana mereka kembali ke sekolah secara santai tanpa memakai pakaian seragam sekolah.
Malah mereka juga ibarat belajar di rumah sendiri kerana mereka menumpang teduh di SK Seri Pandan yang turut dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sejak 8 Mac lalu.
Setakat pagi tadi, PPS di sekolah ini yang menempatkan 327 mangsa daripada 82 keluarga turut beroperasi bagi sesi persekolahan.
Kementerian Pendidikan (KPM) sebelum ini, memberi kelonggaran kepada murid yang kurang mampu untuk hadir ke sekolah pada sesi persekolahan baharu, meskipun tidak dapat menyediakan pakaian seragam sekolah.
Kelonggaran itu diberikan bagi memudahkan ibu bapa terutama mereka yang terkesan akibat banjir di Johor.