
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dilapor selamat melangsungkan perkahwinan dengan seorang wanita bernama Qistina Lim di sebuah hotel di Shah Alam, malam tadi.
Majlis resepsi perkahwinan Musa dikongsi seorang individu dipercayai adiknya, Mohammad Izzat Hassan menerusi Facebook yang turut menyertakan gambar persandingan abang sulungnya itu, keluarga dan tetamu yang hadir.
“Syukur Alhamdulillah dan tahniah, Tan Sri Musa Hassan dan Puan Sri Qistina Lim, anda (Musa) sentiasa menjadi idola, penasihat, pemimpin dan abang kepada saya.

“Selamat datang kak long Qistina dalam keluarga kami. Semoga mendapat mawaddah, rahmah dan kekal sehingga ke jannah,” katanya.
Selain itu, pendakwah selebriti, Datuk Tuan Asmawi Tuan Umar turut membuat siaran langsung Facebook yang berdurasi dua minit 18 saat berkaitan majlis resepsi Musa.
“Majlis Perkahwinan Tan Sri Musa Hassan & Puan Sri Qistina Lim,” katanya menerusi akaun media sosialnya itu.
Beberapa pengguna Facebook yang menonton siaran langsung itu turut mengucapkan tahniah dan mendoakan rumah tangga pasangan itu berkekalan.
Untuk rekod, Musa sebelum ini berpisah dengan isterinya selepas Elly Afizahwati Abdul Jalil, 42 memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah pada 30 Mac lalu.
Permohonan cerai itu difailkan kerana faktor shiqaq atau perbalahan berpanjangan dengan Musa yang dikahwininya sejak 10 tahun lalu.
| ARTIKEL BERKAITAN