DUNGUN: Musim tengkujuh yang melanda kawasan Hulu Dungun telah membawa limpahan rezeki kepada hampir 500 penduduk di Kampung Shukor di sini untuk menambah pendapatan mereka.
Diibaratkan sebagai pesta, musim buah keranji adalah yang ditunggu-tunggu oleh penduduk untuk berkumpul dan bergotong–royong mengutip buah tersebut kerana ianya hanya berbuah setiap 5 hingga 6 tahun sekali.
Buah keranji adalah sejenis buah–buahan hutan yang hidup liar di hutan dan sukar untuk diperolehi di kawasan hutan biasa.
Seorang penduduk, Tengku Mohd Zulkarnain Tengku Man, 58, berkata, buah keranji lazimnya berbuah pada sekitar bulan Mac dan akan masak sepenuhnya pada bulan November.
Menurutnya, dia sekeluarga sememangnya menantikan ketibaan musim buah keranji kerana ia sudah menjadi rutin setiap lima tahun sekali sama ada untuk dijadikan hidangan atau untuk dijual sebagai pendapatan sampingan.
Tambahnya, proses memetik buah keranji lazimnya dilakukan dengan mematahkan rantingnya bagi mengelakkan buah menjadi rosak.
Buah keranji yang dipungut akan dijemur dalam tempoh sehari bagi memudahkan proses membuang rantingnya selain bertujuan mengeringkan isinya untuk memastikan buah berkenaan tahan lama untuk disimpan.
Menurut Tengku Mohd Zulkarnain, jika musim buah keranji menjadi, harganya boleh mancapai RM40 sekilogram dan untuk itu, beliau boleh mendapat pendapatan sampingan sehingga RM300 bagi satu pokok.
Lazimnya, dia mampu memperoleh sekitar tiga puluh hingga empat puluh kilogram buah keranji dan tempahan yang diterimanya terdiri daripada pelanggan di sekitar daerah Dungun.
Walaupun hanya sekadar pendapatan sampingan, namun ia sudah menjadi rutin baginya sekeluarga sejak tiga puluh tahun lalu selain mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.