comscore
Tumpuan :
Nasional

Musim haji 1444H: Lebih 19,000 jemaah Malaysia sudah berada di Tanah Suci

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

SEPANG: Lebih 19,000 jemaah haji Malaysia sudah pun selamat tiba dan berada di Tanah Suci sejak penerbangan pertama bermula 21 Mei lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, Tabung Haji (TH) mengurus lebih 31,000 jemaah iaitu kuota penuh rasmi negara, dengan menggunakan 98 penerbangan sewa khas haji terus ke Tanah Suci sehingga 21 Jun ini.

“Kerajaan Arab Saudi juga meneruskan perkhidmatan Makkah Route untuk jemaah haji Malaysia buat tahun yang kelima sejak diperkenalkan pada 2017.

“Perkhidmatan ini ternyata berjaya melancarkan pergerakan jemaah ketika proses imigresen dan kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan setibanya jemaah di lapangan terbang Madinah serta Jeddah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sembah ucapan majlis keberangkatan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mengucapkan selamat jalan kepada

355 jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci di Kompleks Tabung Haji, di sini hari ini.

Kumpulan terdiri daripada 210 bakal jemaah wanita dan 145 bakal jemaah lelaki dijadual berlepas menerusi penerbangan Saudia Airlines (SV 5665) ke Jeddah pada jam 5.35 petang ini dan dijangka tiba pada jam 11.10 malam (waktu Arab Saudi).

Mengulas lanjut, Dr Mohd Na’im berharap jemaah haji dapat melakukan amal ibadat sepanjang berada di Tanah Suci nanti.

Menurut beliau, sekiranya mempunyai apa-apa kemusykilan hukum, mereka boleh bertanya kepada pembimbing ibadat TH bagi memastikan amalan yang dilakukan adalah betul dan sempurna.

“Jemaah juga dinasihatkan sentiasa menjaga kesihatan diri serta sentiasa memakai gelang dan kad pengenalan diri yang dibekalkan oleh TH supaya mudah dikenal pasti sekiranya berlaku sebarang kecemasan.

“Semoga dhuyufurrahman semua dikurniakan haji yang mabrur, insya-ALLAH,” katanya.

Loading...
Terkini