
Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin
GOMBAK: Yayasan MyAqsa dan Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim (AIKOL), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Kedutaan Negara Palestin akan menyerahkan laporan bukti jenayah kekejaman Israel terhadap Palestin kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Pengerusi My Aqsa, Suwardi Yaacob, berkata hasil laporan disediakan AIKOL itu akan dikemukakan secara rasmi kepada Pejabat Pendakwa Raya ICC dalam masa terdekat.
“MyAqsa mengambil inisiatif bekerjasama dengan pihak AIKOL dan memberikan sedikit geran dan juga meminta 5 orang professor Undang-Undang Antarabangsa di AIKOL UIAM untuk mengadakan penyelidikan yang lebih terperinci mengenai kesemua keseluruhan jenayah perang yang diperuntukkan di dalam Statut Rom ICC.
“Ianya terdapat 4 jenayah yang diperuntukkan di bawah Rom Statut iaitu pembunuhan beramai-ramai, jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah pencerobohan.
“Kita melihat kesemua, keempat-empat (jenayah) ini termasuk sub klausa (yang ada) telah dilanggar oleh Israel, jadi kita nak tunjukkan kepada dunia bagaimana kejamnya yang telah melanggar segala peruntukan undang-undang antarabangsa yang ada,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media khas yang diadakan di UIAM hari ini.
Turut hadir Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali dan Ketua Penyelidik, Prof. Madya Dr. Mohd Hisham Mohd Kamal.
Tambahnya, walaupun gencatan senjata telah dibuat, namun pihaknya akan meneruskan tindakan perundangan berkenaan terhadap segala jenayah yang telah dilakukan rejim Israel terhadap Palestin selama ini untuk diadili dan dihakimi di ICC.
Justeru itu, beliau menyeru semua pihak untuk terus menggembleng tenaga dan usaha untuk mengumpul bukti serta mendapatkan keterangan saksi untuk diserahkan kepada ICC.
“Walaupun gencatan senjata berlaku, jenayah tetap jenayah, kita akan meneruskan dan kita menyeru semua pihak untuk meneruskan usaha untuk mengumpulkan semua bukti-bukti jenayah yang telah dilakukan rejim zionis Israel untuk dikemukakan kepada pihak ICC untuk diadili dan dihukumn dengan sewajarnya.
“Gencatan senjata ini hanya berlaku di Gaza, tetapi di tebing barat kezaliman, penindasan adalah berterusan sehingga ke hari ini, sebab itulah saya rasa kita perlu gembelingkan seluruh tenaga yang ada.
“Mana-mana pihak, semua pihak dialua-lukan untuk membantu Palestin dan rakyatnya untuk kita kumpulkan bukti mendapatkan keterangan saksi-saksi dan untuk kita serahkan kepada pihak ICC insya-Allah,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.