comscore
Tumpuan :
Nasional

MyDigital ID: Tidak simpan data peribadi – MIMOS

PUTRAJAYA: Pelaksanaan sistem pengenalan diri dalam talian atau MyDigital ID tidak menyimpan sebarang data dan maklumat orang ramai.

Sebaliknya, menurut Ketua Kluster Sektor Teroka Teknologi MIMOS Bhd, Dr Saat Shukri Embong, ia berperanan sebagai sistem untuk mengesahkan pengenalan diri secara dalam talian berpandukan pangkalan data kerajaan sedia ada.

Malah, MIMOS juga tidak mempunyai ‘server’ atau pelayan untuk menyimpan semua data berkaitan kerana sistem dibangunkan pihaknya sekadar berfungsi sebagai pemudahcara dan untuk memproses transaksi pengesahan dibuat.

“Untuk kata ia kebal sepenuhnya itu mustahil kerana risiko tetap ada… dalam sistem MyDigital ID ini, risikonya cukup kecil kerana jika sistem diceroboh, tiada maklumat untuk dicuri kerana ia tidak menyimpan sebarang data.

“Ini kerana data berkenaan butiran peribadi disimpan agensi berkaitan seperti JPN (Jabatan Pendaftaran Negara) dan Imigresen dan ia dilindungi undang-undang sedia ada jika berlaku kejadian tidak diingini,” katanya pada sesi taklimat berkaitan MyDigital ID bersama MIMOS di Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), hari ini.

Mengenai kebimbangan jika berlaku kebocoran atau telefon bimbit pemilik dicuri, katanya, pemilik boleh membatalkan segera pendaftaran dengan hanya satu panggilan sebelum mendaftar semula untuk mendapatkan sijil digital baharu.

Katanya, MyDigital ID dibangunkan MIMOS Bhd  bukan bersifat ‘copy and paste’ atau salin dan tampal daripada mana-mana sistem diguna pakai negara luar.

Beliau sekali gus  menafikan andaian kononnya sistem berkenaan dibuat secara ‘adhoc’ atau tergesa-gesa sehingga memungkinkan timbul risiko termasuk potensi pencerobohan atau kecurian data.

Justeru, tidak sepatutnya timbul kesangsian dalam kalangan orang awam kerana proses itu dibangunkan MIMOS dengan begitu teliti.

Katanya, MIMOS menjalankan projek penyelidikan mengenai platform pengesahan bersepadu sebagai sebahagian daripada pembangunan teknologi di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) seawal 2016.

“MIMOS memang ada rujuk pembangunan sistem identiti digital global pelbagai negara antaranya Estonia, India, Kanada, Maghribi dan Australia, namun sistem MyDigital ID ini kita hasilkan dengan mengikut keperluan, acuan dan teknologi yang dibangunkan sendiri bakat tempatan.

“Kita bukan ‘copy and paste’ macam tu sahaja (sistem mereka), tetapi kita kaji apa yang berlaku pada sistem mereka terutama dari segi masalah dan risiko yang dihadapi sebagai panduan untuk mantapkan sistem di negara kita,” katanya.

Dr Saat Shukri berkata ketika ini proses pendaftaran bermula dengan pembuat dasar dan kakitangan awam, sebelum diperluas kepada penerima bantuan kerajaan berdasarkan data PADU bermula Mac tahun depan.

“Kita jangkakan pendaftaran untuk orang awam lain akan bermula seawal Julai tahun depan selepas penggunaannya diperluaskan dan kini MIMOS sedang melakukan rundingan dengan pihak swasta yang berminat untuk menggunakan MyDigital ID.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini