comscore
Tumpuan :
Nasional

MySejahtera Dijadikan Alat Pengurusan Kesihatan Awam Negara

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

FOTO: NSTP

PUTRAJAYA: Aplikasi MySejahtera akan dijadikan alat pengurusan kesihatan awam negara selaras dengan pelan pendigitalan perkhidmatan kesihatan.

Perkara itu diumumkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.

Beliau berkata, langkah itu bertepatan dengan syor Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang baharu diterima olehnya.

Khairy pada sidang media selepas majlis itu menjelaskan, soal isu-isu berbangkit berkaitan aplikasi MySejahtera akan diselesaikan sebelum beliau meninggalkan kementerian itu.

“PAC mengesahkan aplikasi Mysejahtera dijadikan sebagai platform digital kesihatan awam negara walaupun ada byk teguran tentang isu legasi sebelum KKM ambik alih seperti isu pelantikan (syarikat pembangun) dan lain-lain.

“Apabila MySejahtera dipindahkan ke KKM dari Majlis Keselamatan Negara (MKN), kita pastikan soal pemilikan data adalah selamat dan MySejahtera boleh digunakan sebagai platform kesihatan awam,” katanya.

PAC hari ini membentangkan Laporan Pembangunan dan Perolehan Aplikasi MySejahtera di bawah KKM, Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri di Parlimen.

Antara syor PAC adalah kerajaan harus memastikan pemilikan penuh kerajaan dalam aplikasi MySejahtera serta memberikan jaminan bahawa data dalam aplikasi MySejahtera adalah selamat dan tidak akan disalahguna.

“Rumusan (PAC) yang paling penting adalah kerajaan harus memiliki aplikasi (MySejahtera) sepenuhnya dan memang itu yang kita telahpun buat terutama dengan yang kontrak bakal ditandatangani.

“(Dengan itu), tiada lagi keraguan soal pemilikan aplikasi dan juga data, semua dimiliki Kerajaan Malaysia… saya telah pastikan itu dapat diselesaikan sebelum saya tinggalkan kementerian,” katanya.

https://youtu.be/ov9jNt-wr2Q

Aplikasi Mysejahtera dilancarkan pada 20 April 2020 sebagai usaha membantu dalam pengawasan penularan COVID-19 di dalam negara, yang turut membolehkan pengguna melaksanakan penilaian kesihatan kendiri sekiranya mereka diklasifikasikan sebagai berisiko dijangkiti wabak tersebut.

Kini, aplikasi itu telah dikemaskini dengan ciri-ciri baharu antaranya kad penderma darah selain membolehkan orang ramai mengikrarkan diri sebagai penderma organ.

Loading...
Terkini