comscore
Tumpuan :
Nasional

NACS 2024-2028 strategi baharu perangi rasuah

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika merasmikan Majlis Peluncuran Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 di Putrajaya. – FOTO: NSTP

Oleh: Siti Khadijah Jaafar

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, SPRM berterusan mengambil tindakan tegas dan tidak memilih bulu dalam menjalankan siasatan khususnya membabitkan golongan atasan dan berpengaruh.

Ini kerana golongan berkenaan akan terus menekan agensi penguatkuasaan itu untuk terlepas daripada undang-undang.

“Saya percaya Keluarga SPRM tahu bagaimana mereka terpaksa hadapi serangan tohmahan malah keselamatan mereka. Ini pertarungan yang dahsyat.

“Saya mempunyai keyakinan kepada keluarga SPRM, yang diberikan mandat menyiasat tidak mengenal darjat dan keturunan”, katanya.

Menurut Perdana Menteri, perkara itu tidak boleh dilakukan sekiranya ada penjawat awam atau penguatkuasa merasakan hak mereka untuk memunggah hasil kerajaan dan menjalankan pentadbiran mengikut hukum rimba.

“Segelintir penguatkuasa mungkin akan terpukau khususnya membabitkan perasuah berpengaruh, berdarjat dan kumpulan alasan, yang akan menggunakan apa sahaja usaha termasuk media, media sosial, jentera kerajaan untuk menyerang,” katanya.

Datuk Seri Anwar berucap sempena Majlis Peluncuran Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

NACS yang menggantikan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023, ialah komponen penting agenda reformasi yang menggariskan strategi-strategi teras secara menyeluruh dalam usaha pencegahan rasuah di Malaysia.

Ia memberi fokus terhadap keberkesanan usaha pencegahan rasuah, selain meningkatkan tatakelola dan integriti dalam pentadbiran perkhidmatan awam serta syarikat berkaitan kerajaan.

“Bila kita luncurkan agenda ini (NACS), ya tentu tonggaknya masih Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tetapi ia juga melibatkan yang lain (seperti) Lembaga Hasil Dalam Negeri, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam dan agensi lain, yang harus memastikan negara ini beranjak daripada ketelanjuran lalu dan lebih bertekad untuk membanteras (rasuah)”.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini