comscore
Tumpuan :
Nasional

NADMA keluar dasar pengurusan bencana baharu

Khairul (kiri) memberi cenderahati kepada Syed Hussian pada sesi lawatan Korporat Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di Balai Berita hari ini.(Foto; Saifullizan Tamadi)

KUALA LUMPUR: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan mengeluarkan satu dasar pengurusan bencana negara baharu, yang akan menjadi asas bagi penggubalan undang-undang baharu berkaitan bencana negara.

Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Shahril Idrus, berkata dasar berkenaan akan dilancarkan dalam masa terdekat, pada tahun ini.

“Dalam masa terdekat ini, dasar yang akan dikeluarkan akan menjadi asas untuk digunakan bagi menggubal dasar pengurusan risiko bencana,” katanya selepas pertemuan dengan Media Prima Berhad (Media Prima) , Balai Berita, hari ini.

Tahun lalu, di Parlimen, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata kerajaan bercadang memperkenalkan akta khusus untuk menambah baik dan meningkatkan kesiapsiagaan pengurusan bencana.

Katanya, Dasar Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan (DRR) dalam proses penggubalan sebagai usaha memperkemas persiapan dan mekanisme pengurusan bencana.

Mengulas lanjut, Khairul Shahril berkata, NADMA sudah diarahkan kabinet untuk menggubal satu akta berkaitan pengurusan bencana, apabila banyak negara di dunia ini mempunyai akta sedemikian.

“Ini adalah salah satu komitmen kerajaan untuk memastikan pengurusan bencana negaar ini dapat berjalan dengan lebih baik.

“Bagaimanapun terdapat fasa-fasa yang akan kita lakukan sebelum akta itu diwujudkan.

“Fasa pertama adalah untuk kita mendapatkan kelulusan Jemaah Menteri dan ini sudah pun kita lakukan manakala fasa kedua adalah libat urus dengan beberapa agensi berkaitan termasuk pemegang taruh lain termasuk badan bukan kerajaan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini