KUALA LUMPUR: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) kekal berada dalam keadaan berjaga-jaga dan bersedia dengan sebarang kemungkinan gelombang kedua banjir yang dijangka berlaku pada 8 hingga 14 Disember ini.
Ketua Pengarah NADMA, Datuk Khairul Shahril Idrus, berkata ini memandangkan persiapan sudah pun dilakukan terlebih awal dalam mesyuarat jawatankuasa pengurusan bencana negara yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Katanya, menerusi mesyuarat itu, persiapan sudah dimaklumkan kepada agensi-agensi kerajaan bagi menghadapi musim Monsun Timur Laut 2024/2025 yang dijangka berakhir pada Mac tahun hadapan.
“Justeru, fokus NADMA masih lagi untuk memastikan isu-isu berkaitan usaha menyelamat, pengurusan mangsa dan kerja-kerja pasca banjir dapat diselaraskan dan dibuat dengan sebaik mungkin.
“Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi (METMalaysia) juga akan sentiasa memantau corak cuaca terkini untuk membuat analisis berkaitan intensiti sesuatu gelombang cuaca.
“METMalaysia akan mengeluarkan amaran yang sewajarnya apabila data-data yang mencukupi sudah diperoleh dan disahkan,” katanya kepada BH hari ini.
METMalaysia menjangkakan luruan monsun akan berlaku dalam tempoh bermula 8 hingga 14 Disember ini dan keadaan itu berpotensi menyebabkan hujan berterusan di negeri Pantai Timur Semenanjung dalam tempoh berkenaan.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata orang awam perlu cakna dan peka dengan keadaan cuaca tempat masing-masing semasa Monsun Timur Laut atau lebih dikenali sebagai musim tengkujuh yang bermula sejak 5 November dan dijangka berakhir pada Mac 2025.
Katanya, selain itu, orang awam juga dinasihatkan untuk patuhi arahan pihak berkuasa dan sentiasa mengutamakan keselamatan terutamanya yang berada di kawasan berisiko.
“METMalaysia juga mengeluarkan amaran hujan berterusan peringkat waspada (kuning) untuk timur dan utara Semenanjung bagi tempoh 8 hingga 11 Disember 2024.
“Berdasarkan jangkaan model-model cuaca terkini, episod hujan kali ini dijangka tidak seteruk episod yang terdahulu berikutan jangkaan luruan monsun yang bakal datang adalah tidak sekuat luruan sebelum ini.
“Walau bagaimanapun, amaran yang dikeluarkan akan dikemaskini dari semasa ke semasa berdasarkan maklumat model-model cuaca terkini yang dikemaskini empat kali sehari,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.