SHAH ALAM: Waris tiga penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun, Terengganu yang maut dalam kemalangan di hadapan kampus itu Rabu lalu, masing-masing menerima bantuan berjumlah RM10,000 menerusi Skim Perlindungan Kesihatan Pelajar.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Prof Dr Sazili Shahibi berkata, meskipun tiada insurans berkelompok kepada penuntutnya, namun mereka dilindungi Skim Perlindungan Kesihatan Pelajar berkenaan.
“Semua penuntut UiTM dilindungi di bawah Skim Perlindungan Kesihatan Pelajar yang mana skim ini diuruskan sepenuhnya pihak UiTM.
“UiTM mempunyai peruntukan tersendiri di mana pelajar yang meninggal dunia akibat kemalangan atau kecederaan atau sakit kronik akan dibantu di bawah Tabung Kecemasan Pelajar (UiTM),” katanya kepada media hari ini.
Justeru itu, beliau berkata, waris kepada penuntut yang meninggal dunia akan menerima RM10,000, yang mana, sebanyak RM3,000 akan diberikan serta-merta bagi urusan jenazah.
“Bakinya akan dimasukkan ke akaun waris pelajar selepas menerima dokumen atau sijil kematian penuntut terbabit.
“Kaedah untuk mendapatkannya, waris hanya perlu memaklumkan kepada pihak pengurusan kampus masing-masing (HEP) dan akan diuruskan oleh pihak yang berkaitan. Dalam kes tiga penuntut ini, pihak UiTM Dungun sudah pun mengambil tindakan yang sepatutnya,” katanya.
Dalam kemalangan jam 7.20 malam Rabu lalu, empat pelajar yang menunggang dua motosikal dirempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda CRV dipandu seorang wanita, menyebabkan tiga daripada mereka maut, manakala seorang lagi parah.
Mangsa yang maut ialah dua pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan iaitu Ku Adib Aizab Ku Azmi, 20, dan Khairil Anuar Jamaluddin, 20, pelajar jurusan Ijazah Perakaunan, selain seorang lagi Mohd Akhmal Tukirin, 20, pelajar Ijazah Perhotelan.
Rakan mereka yang parah, Mohd Ammar Danish Mohd Rodhuan, 20, masih dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.
| ARTIKEL BERKAITAN
- 3 penuntut UiTM Dungun maut, 1 cedera parah dirempuh SUV
- Anak Penolong Pengarang Berita BH antara 3 pelajar UiTM Dungun maut dirempuh SUV
- Pemandu wanita sebabkan kematian tiga pelajar UiTM direman empat hari
- Polis tunggu laporan kesihatan wanita sebabkan 3 pelajar UiTM maut kemalangan
- UiTM salur RM10,000 kepada keluarga penuntut terkorban