Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin
BENTONG: Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas satu kertas siasatan susulan kemalangan Kilometer 42.7 Lebuhraya Kuala Lumpur Karak yang meyebabkan 3 mangsa terkorban kira-kira jam 3.40 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Bentong, Supt. Zaiham Mohd Kahar dalam satu kenyataan memaklumkan, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, menyebabkan kematian kerana memandu secara melulu dan merbahaya.
“Semakan ke atas pemandu treler mempunyai 27 saman manakala saman ke atas kenderaan tersebut pula sebanyak 14 saman pelbagai kesalahan,” katanya.
Katanya, hasil siasatan mendapati lori treler yang membawa muatan cerucuk konkrit bertetulang dari Rawang menghala ke Karak, berada di lorong paling kanan.
Setibanya di lokasi, sebuah lori mengubah haluan dari kiri ke kanan untuk memotong sebuah treler lain yang berada di lorong kiri menyebabkan treler yang membawa cerucuk itu cuba mengelak namun gagal kemudian melanggar bahagian sisi belakang lori terbabit.
“Akibat pelanggaran tersebut, lori itu hilang kawalan lalu merempuh bahaian kanan belakang treler di laluan kiri.
“Pelanggaran tersebut pula menyebabkan treler (yang membawa cerucuk) bergesel dengan pembahagi jalan di sebelah kanan sehingga terbakar dan muatan cerucuk konkrit bertetulang tercampak ke laluan bertentangan,” katanya dalam kenyataan itu.
Tambah beliau, muatan yang tercampak itutelah mengakibatkan 4 kenderaan dari arah bertentangan merempuh cerucuk yang berada di atas jalan.
Pemandu dan kelindan lori yang mengubah haluan itu, Muhamad Zaimi Sharifd, 39 dan Muhammad Azizul Fitrie Md Zairi, 23 meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu treler yang membawa cerucuk pula mengalami kecederaan parah.
Salah sebuah kenderaan yang terbabit di laluan bertentangan merupakan kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandu anggota Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM yang turut menjadi mangsa nahas dalam kejadian berkenaan.
Allahyarham Sarjan Mohd Ridzuan Zulkafly, 40, bertugas di unit dron PGU PDRM, meninggalkan seorang seorang balu berusia 40 tahun serta dua orang anak berusia 14 dan 11 tahun.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa