comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Nahas Alza-treler, tiga beranak maut

 

Oleh: Fazli Ahmad

KUALA LIPIS: Tiga maut dalam kemalangan membabitkan Perodua Alza dan treler pengangkut kenderaan di Kilometer 17 Jalan Lipis – Benta dekat Taman Jelai, Penjom, di sini, pagi ini.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor, berkata nahas kira-kira jam 2.25 pagi itu mengorbankan pemandu Perodua Alza, Nor Faizah Ridzuan, 34, dan dua anak lelakinya Muhammad Hariz Adrian Mohd Azman, 10, dan Muhammad Hafiy Azman Abdullah, 3.

Katanya, ketika kejadian Perodua Alza terbabit dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur ke Kelantan.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku selepas kenderaan terbabit hilang kawalan selepas melalui laluan berselekoh.

“Kenderaan itu memasuki laluan bertentangan dan bertembung treler dari arah depan.

“Perodua Alza itu diseret treler dan merempuh besi penghadang jalan,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Menurut Azli, akibat kemalangan itu, pemandu serta dua penumpang belakang Perodua Alza cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu serta kelindan treler tidak mengalami kecederaan.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Lipis bergegas ke lokasi kejadian sebaik dimaklumkan mengenai kemalangan itu pada jam 2.42 pagi.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi pasukan penyelamat mendapati pemandu dan dua penumpang belakang tersepit dalam Perodua Alza.

“Anggota bomba mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan semua mayat tersepit dalam kenderaan terbabit,” katanya.

Mayat dihantar ke Hospital Lipis untuk dibedah siasat.

Kemalangan itu disiasat mengikut Sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini