comscore
Tumpuan :
Kemalangan

Nahas bas ekspres, enam kenderaan selepas Terowong Menora

Nahas di Kilometer 256.7 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah Utara di Kuala Kangsar, petang tadi menyebabkan kesesakan lalu lintas.

KUALA KANGSAR: Satu kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres dengan enam kenderaan lain di Kilometer 256.7 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah Utara, petang tadi.

Kejadian itu mengakibatkan aliran trafik terhenti sepanjang tujuh kilometer selama 40 minit.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar, Izuan Zakaria, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung insiden selepas Terowong Menora itu pada jam 4.16 petang sebelum menghantar lapan anggota ke lokasi.

Beliau berkata, kemalangan mengakibatkan seorang individu berusia 50-an tersepit dalam kereta dipandunya yang berada di belakang bas berkenaan, namun hanya cedera ringan.

“Insiden membabitkan enam kereta dan bas, hanya seorang mangsa cedera akibat tersepit. Mangsa dalam kenderaan lain termasuk penumpang bas tidak cedera dan sudah keluar dari kenderaan masing-masing semasa bomba tiba, kira-kira jam 5.05 petang.

“Nahas hanya mengakibatkan kenderaan terbabit mengalami kerosakan akibat berlanggar antara satu dengan yang lain,” katanya ketika dihubungi, malam ini.

Katanya lagi, mangsa yang tersepit difahamkan memandu di belakang bas terbabit sebelum ia dipercayai dilanggar dari arah belakang oleh kenderaan lain.

“Selepas berjaya dibawa keluar, mangsa kemudiannya dibawa ke hospital untuk rawatan,” katanya.

Sementara itu, PLUS melalui Twitter @plustrafik memaklumkan setakat jam 5.13 petang, insiden itu mengakibatkan semua lorong hala utara ditutup bagi memberi laluan kepada kerja-kerja menyelamat, menyebabkan aliran trafik terhenti sejauh tujuh kilometer.

Pada jam 5.53 petang, lorong kanan mula dibuka, namun trafik masih sesak sejauh 10 kilometer sehingga jam 6.32 petang.

Loading...
Terkini