comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Nahas bas Lentang: ‘Ada mangsa minta tolong, tapi saya tak larat nak bantu’ – Mangsa

 

BENTONG: “Ada seorang lelaki berhampiran saya, dia minta tolong saya tapi saya pun tak larat nak tolong,” jelas Mohd Khidhir Mazalan, salah seorang mangsa kemalangan bas persiaran di KM 51.3 Lebuhraya KL-Karak, ketika ditemui sebentar tadi.

Beliau yang bertugas sebagai Pegawai Kredit di syarikat swasta berkata hanya sedar daripada tidur selepas bas terbabit mula bergegar.

“Masa kejadian tu saya tak tidur sepenuhnya, macam sedar tak sedar, tiba-tiba saya rasa bas tu bergegar. Masa tu saya sedar.

“Saya terpelanting dari kerusi di belah kiri ke belah kanan,” katanya ketika ditemui Buletin TV3.

Jelas Mohd Khidhir lagi, selepas bas terbalik, keadaan panik apabila semua penumpang mula menjerit dan meminta tolong.

“Pemanduan dia (pemandu bas) itu biasa, dia takda la kata laju. Mungkin jalan licin sebab hujan, biasalah kadang-kadang pemanduan tu ada laju ada perlahan.

“Bila terpelanting tu, saya terus bangun dan saya blur sekejap macam.. apa dah jadi. Saya nampak belah kiri seorang penumpang perempuan dihimpit kerusi depan belakang.

“Ada seorang lagi lelaki (berhampiran saya) minta saya tolong, tapi saya tak larat saya cakap tunggu sekejap bomba akan datang,” katanya lagi.

Beliau yang mengalami kecederaan di bahagian kepala, badan dan bahu telah menjalani rawatan di Hospital Bentong.

“Ada kecederaan sikit di kepala, badan, bahu terkeluar sikit dan akan refer Hospital Kuantan.

“Memang setiap hari Jumaat habis kerja saya akan balik ke Kuantan sebab saya suami PJJ (pasangan jarak jauh) kan.

“Hari ini saya tak kerja, saya bertolak jam 7 pagi dari TBS (Terminal Bersepadu Selatan) macam biasa sebab tahu nak balik Kuantan, tapi tak tahu akan jadi macam ni,” katanya lagi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, bas persiaran yang membawa 20 penumpang itu terbalik selepas hilang kawalan di KM 51.3 Lebuhraya KL-Karak pada Jumaat.

Dua penumpang warganegara asing maut, manakala dua lagi mangsa termasuk pemandu bas berkenaan cedera parah.

Sementara 11 lagi mangsa hanya cedera ringan dan kesemua mangsa dihantar ke Hospital Bentong untuk rawatan lanjut.

Siasatan awal polis juga mendapati, bas persiaran berkenaan berlepas dari TBS menuju ke Kuantan.

Loading...
Terkini