comscore
Tumpuan :
Nasional

 Nahas MPV-Pikap di Keningau, seorang lagi mangsa disahkan maut

KENINGAU: Seorang lagi mangsa disahkan meninggal dunia dalam kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza dan sebuah pikap di Jalan Apin-Apin, di sini Ahad lalu.

Ini menjadikan empat sekeluarga maut akibat insiden itu setakat, semalam.

Sebelum ini dua mangsa dilaporkan maut di lokasi kejadian iaitu pemandu MPV, Masino Gelong, 45, dan anaknya Claeryina Mecthildis, 3.

Lima mangsa yang lain, termasuk isteri dan empat lagi anak dilaporkan cedera parah dan dihantar ke Hospital Keningau untuk rawatan.

Bagaimanapun, isteri mangsa Chelrina Philip, 33, turut meninggal dunia kira-kira 21 jam selepas kemalangan itu dan semalam, seorang lagi anaknya iaitu Mica Chelsino, 7, dilaporkan meninggal dunia.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai, berkata Mica yang duduk di bahagian penumpang disahkan meninggal dunia jam 11.21 malam.

“Bedah siasat tidak perlu dibuat kerana pihak Forensik Hospital Keningau sudah pastikan punca kematian,” katanya.

Jelasnya, tiga lagi anaknya dalam keadaan stabil dan menerima rawatan di Hospital Likas dan Hospital Keningau.

“Charlene Myra Masini, 9, stabil dan pemantauan di Hospital Keningau manakala Camellia Mae Masimo, 11, stabil dan dirawat di Hospital Likas.

“Mattheo Charbel, 2, stabil dan kini berada di rumah keluarga ibu mangsa di Keningau,” katanya.

Dalam kejadian tengah malam Ahad lalu, Toyota Avanza dipandu Masino dari arah Keningau menuju ke Apin-Apin bersama isteri dan lima anaknya.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, dipercayai Toyota Avanza hilang kawalan masuk ke laluan kenderaan Nissan Navara lalu berlaku pertembungan dan menyebabkan kedua-dua kenderaan berpusing dan terbabas ke sebelah kiri dan kanan bahu jalan.

Dalam kejadian itu mangsa iaitu pemandu, Toyota Avanza dan seorang anaknya meninggal dunia di tempat kejadian.

Semua penumpang dalam kenderaan Toyota Avanza parah dan semua mangsa dibawa ke Hospital Keningau untuk rawatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini