comscore
Tumpuan :
Nasional

Naik taraf kemudahan sukan

Lokasi Kompleks Sukan Bukit Merbau yang terletak di Pasir Puteh. – Foto: NSTP

Kota Bharu: Kemudahan infrastruktur sukan di Kelantan terus dinaik taraf untuk melahirkan lebih ramai atlet pada masa akan datang dan menjadi tumpuan sebagai tuan rumah bagi menganjurkan acara sukan berprestij.

Antaranya, Kelantan bakal menjadi tuan rumah bagi acara Sukan Malaysia (Sukma) Kelantan pada 2026.

Bagi memenuhi keperluan itu, Kompleks Sukan Bukit Merbau dekat Pasir Puteh, kini dalam pembinaan dengan kos RM256 juta di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

Kompleks yang berkapasiti 20,000 penonton itu lengkap dengan padang bola sepak dan trek olahraga.

Selain itu, Stadium Sultan Muhammad IV juga dalam proses penambahbaikan bagi memberi keselesaan dengan kos RM5.5 juta.

Kerajaan negeri membuat penambahbaikan iaitu menukar kerusi, astaka dan memasang tapak gajah di stadium itu.

Stadium berkenaan yang menjadi mercu tanda di bandar ini dan Kelantan melahirkan beberapa pemain bola sepak terhebat seperti penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat atau dikenali sebagai Apek dan Mohd Badhri Radzi atau Piya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat berkata, penambahbaikan Stadium Sultan Muhammad IV dijangka siap pada 2024.

Beliau berkata, Kompleks Sukan Bukit Merbau pula dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2025 dan Kelantan akan menjadi tuan rumah Sukma pertengahan 2026.

Menurutnya, bagi persediaan Sukma, pusat akuatik juga bakal dibina di Bandar Baru Tunjong manakala bagi acara pelayaran dijangka diadakan di Pantai Geting Tumpat.

“Dengan pembinaan kompleks sukan ini kita berharap dapat memberi kemudahan kepada Kelantan untuk melahirkan lebih ramai atlet yang berbakat pada masa hadapan.
“Kemudahan ini juga dapat menjadikan Kelantan untuk menjadi penganjur acara sukan berprestij pada masa akan datang seperti Sukma,” katanya.

Selain itu, Wan Roslan berkata, kerajaan negeri juga memohon peruntukan kepada Kementerian Belia dan Sukan untuk membina kompleks sukan komuniti di setiap daerah di negeri ini bagi membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat.

“Alhamdulillah kementerian meluluskan peruntukan sebanyak RM24 juta untuk pembiakan kompleks sukan di Pergau, Jeli.

“Saya berharap pihak kementerian akan meluluskan peruntukan untuk pembinaan kompleks sukan komuniti di daerah lain pula selepas ini.

“Dengan adanya pelbagai kemudahan, kita berharap akan dapat melahirkan lebih ramai individu yang berbakat dalam bidang sukan,” katanya. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini