Tumpuan :
Nasional

Naik taraf lapangan terbang guna model pemulihan pelaburan

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Projek menaik taraf lapangan terbang di negara ini pada masa akan datang, tidak lagi menggunakan suntikan dana kerajaan.

Sebaliknya, ia akan dilaksanakan melalui model baharu oleh syarikat berkaitan melalui ‘model pemulihan pelaburan’.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata pendekatan itu dilihat lebih inovatif dan cepat dalam pelaksanaan projek pembesaran lapangan terbang yang kritikal kepada pembangunan negara.

Beliau berkata, model pembangunan baharu itu kini dilaksanakan bagi projek menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK), di Sabah dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di Pulau Pinang.

Bagi projek menaik taraf LTAKK, katanya, ia dilaksanakan oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dengan kos RM442.30 juta.

“Walaupun projek menaik taraf LTAKK tidak diumumkan pada Belanjawan lalu, ia diluluskan jemaah Menteri kerana ia dilaksanakan tanpa suntikan dana kerajaan.

“Sebelum ini, kebanyakan projek pembesaran lapangan terbang menggunakan suntikan dana pembangunan daripada belanjawan tahunan tetapi kita beralih kepada model pembangunan berlainan.

“Dengan adanya perjanjian operasi (OA) dengan MAHB, kita ada fleksibiliti untuk membenarkan MAHB membiayai pembesaran lapangan terbang dengan model pemulihan pelaburan,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen, hari ini.

Loke berkata, antara lapangan terbang yang akan dinaik taraf membabitkan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh dan Lapangan Terbang Miri, Sarawak.

Katanya, kerajaan Sarawak sedang mempertimbang satu lapangan terbang baharu di Kuching yang akan dibincangkan dengan melihat pendekatan baharu untuk merealisasikan projek ini.

“Banyak lapangan terbang dikenal pasti seperti pengumuman sebelum ini di Tawau yang akan dilaksanakan tahun depan, namun ia menggunakan peruntukan perbelanjaan pembangunan,” katanya.

Loke berkata, projek menaik taraf LTAKK dijangka mengambil masa maksimum 48 bulan dan dibiayai sepenuhnya inisiatif pembiayaan swasta oleh MAHB tanpa membabitkan jaminan kerajaan.

Katanya, projek naik taraf itu turut membabitkan penambahan kapasiti terminal dari sembilan juta kepada 12 juta penumpang setahun.

“Projek itu penting bagi menyokong unjuran peningkatan jumlah penumpang sebanyak 12.4 penumpang setahun (mppa) menjelang 2034.

“Fasa prapembinaan bermula tahun ini manakala pembinaan dijangka siap pada 2027, membabitkan pembesaran terminal utama.

“Kemudahan baharu ia membabitkan pembinaan kawasan parkir bertingkat dan tambahan tujuh ruangan tempat letak kenderaan pesawat (apron).

“Infrastruktur sokongan membabitkan penambahbaikan jalan raya sekitar lapangan terbang dan penggunaan teknologi hijau,” katanya.

LTAKK kini berkapasiti sembilan juta penumpang setahun, menjadikannya lapangan terbang kedua tersibuk di negara ini selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sehingga Oktober lalu, LTAKK mencatat jumlah penumpang sebanyak 6.6 juta, meningkat 13.4 peratus berbanding tempoh sama pada 2023.

Loke berkata, projek menaik taraf turut membabitkan adaptasi teknologi lapangan terbang 4.0 dengan mengintegrasikan automasi dan teknologi canggih untuk meningkatkan kecekapan operasi.

Katanya, projek menaik taraf LTAKK adalah komitmen kerajaan dalam memastikan infrastruktur di Sabah bukan sahaja memenuhi keperluan semasa, tetapi bersedia menghadapi permintaan masa depan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini