KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dilihat sengaja ‘membutakan mata’ mengenai kegagalannya untuk menyiasat asal usul dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah yang membacakan penghakiman melalui keputusan di akhir kes pendakwaan berkata, bekas Presiden Umno itu bertanggungjawab untuk mengambil langkah munasabah bagi memastikan sama ada dana dimasukkan ke dalam akaunnya adalah hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang.
“Memandangkan jumlah dana yang sangat besar didepositkan iaitu, AS$681 juta ke dalam akaunnya dan jumlah yang dikembalikan sebanyak AS$620 juta.
“Kelakuan dan perbuatan menerima, menggunakan dan memindahkan hasil oleh Najib adalah relevan mengikut seksyen 8 Akta Keterangan 1950,” katanya.
Menurutnya, dapatan itu diterima dan kesimpulan secara munasabah dan wajar bahawa pengetahuan tertuduh berkenaan semua 21 pertuduhan pengubahan wang haram di bawah seksyen 4(1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA).
“Di bawah keadaan dan berdasarkan keterangan, saya mendapati bahawa pihak pendakwaan membuktikan mens rea (niat jahat) berkenaan dengan semua tuduhan pengubahan wang haram,” katanya.
Sementara itu, Sequerah juga menyatakan bahawa ketika skandal 1MDB didedahkan pada tahun 2015, Najib menggugurkan Peguam Negara ketika itu Tan Sri Abdul Gani Patail yang mengetuai Pasukan Petugas Khas 1MDB dan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed, dan membubarkan Pasukan Petugas Khas.
Katanya, Najib juga menggantikan Abdul Gani dengan Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebagai Peguam Negara, yang kemudiannya membebaskan Najib daripada siasatan, dan hanya disambung semula pada 2018, selepas Najib (dan Barisan Nasional serta UMNO) kehilangan kuasa dalam pilihan raya umum 2018.
Sequerah juga menyatakan keterangan bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan bekas Pegawai Khas Najib, Datuk Amhari Effendi Nazaruddin bahawa 1MDB ditubuhkan untuk kepentingan BN dan Umno.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.