comscore
Tumpuan :
Nasional

Najis ternakan babi cemar Sungai Tamparuli

Air sungai berubah warna menjadi kehijauan berpunca ladang ternakan babi di Kampung Bawang, Tamparuli.- Foto: NSTP

TAMPARULI: Perbuatan pengusaha ladang ternakan babi di Kampung Bawang, di sini, membuang najis haiwan itu ke sungai berhampiran ladang sejak beberapa tahun lalu menyebabkan air sungai itu tercemar.

Lebih mengejutkan air sungai terbabit masih digunakan penduduk setempat, malahan mengalir di Loji Rawatan Air Telibong sebelum disalurkan kepada ribuan pengguna di Tuaran, Tamparuli dan Kota Kinabalu.

Tinjauan mendapati air sungai berhampiran ladang ternakan babi itu bertukar warna menjadi kehijauan, selain berbau busuk meloyakan.

Penduduk, Amy James, 37, mendakwa bukan hanya air sungai di Kampung Bawang yang terjejas teruk, malahan kualiti udara di kawasan perkampungan juga tercemar dengan bau busuk setiap hari.

“Pelbagai usaha sudah penduduk lakukan termasuk melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa, namun ladang ternakan babi itu masih terus beroperasi dalam tempoh lama.

“Apa yang berlaku sejak kewujudan ladang ternakan itu, sungai Kampung Bawang tercemar teruk oleh najis haiwan itu,” katanya.

Bagaimanapun, menurut beliau, ada penduduk masih menggunakan air sungai tercemar itu terutama ketika cuaca panas ketika ini, apabila sumber air mereka mula mengecil.

Seorang lagi penduduk, Voyed Jibil, 38, mengakui tidak tahan lagi dengan kewujudan ladang ternakan babi itu, yang najisnya mencemarkan air sungai dan kualiti udara Kampung Bawang.

“Pengusaha ladang ternakan babi itu benar-benar tidak bertanggungjawab apabila semenang-wenangnya membuang najis haiwan itu ke dalam sungai berhampiran.

Sebelum ini, pencemaran itu didedahkan seorang pengguna media sosial yang memuat naik rakaman video menunjukkan aliran air berbau busuk dan kotor dari kolam takungan najis babi sebelum mengalir ke sungai berhampiran.

Berikutan itu, sepasukan pegawai dari Jabatan Veterina meninjau ladang ternakan babi itu untuk menyiasat dakwaan terbabit.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, pihaknya sangat prihatin dengan aduan pencemaran sungai daripada ladang ternakan babi yang dilaporkan berlaku di Tamparuli.

“Berdasarkan maklumat yang diterima, pusat khidmat Parlimen Tuaran bersama-sama pihak berkuasa membuat pemeriksaan di sungai seperti yang didedahkan,” katanya.

Menurut beliau siasatan masih diteruskan untuk proses tindakan seterusnya.

“Saya menyokong penuh siasatan dijalankan dan berharap satu penyelesaian segera dapat dilaksanakan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai termasuk pengusaha ladang ternakan sentiasa mematuhi standard dan peraturan ditetapkan apabila melaksanakan kegiatan pertanian dan penternakan dengan tidak melakukan sebarang pencemaran alam sekitar.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini