comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Najis tikus, bau hancing di restoran terkenal saji hidangan Timur Tengah

 

GEORGE TOWN: Najis tikus dan bau hancing antara yang dikesan dalam stor penyimpanan bahan makanan sebuah restoran terkenal ketika diperiksa pegawai penguatkuasa Jabatan Pelesenan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di Lebuh Chulia, di sini, hari ini.

Akibatnya, restoran yang menyajikan menu Timur Tengah itu diberi tiga notis termasuk perintah penutupan selama 14 hari sehingga 30 Januari bagi kerja pembersihan.

Pengarah Jabatan Pelesenan MBPP, M. Bawani berkata pemeriksaan mendapati aspek kebersihan di premis itu amat tidak memuaskan.

Katanya didapati juga berlaku pencemaran silang yang mana bahan makanan dialas dengan kertas bercetak selain makanan mentah dan sudah dimasak disimpan bersama.

Keadaan periuk nasi di dapur sebuah restoran terkenal di Lebuh Chulia, di sini ketika pemeriksaan oleh Jabatan Perlesenan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP). – Foto NSTP

“Pihak pengurusan premis mendakwa membersihkan perangkap minyak setiap hari namun ketika pemeriksaan mendapati keadaannya amat ‘teruk’ sekali. Manakala tahap kebersihan dapur iaitu di tempat memasak amat tidak memuaskan selain telur dan lain-lain makanan diletak bersama cat serta bahan pencuci,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Bawani berkata pihak pengurusan premis juga gagal menunjukkan Kad Suntikan Vaksin Anti-Tifoid apabila diminta.

Tinjauan mendapati bahagian luar beberapa periuk nasi di dapur premis berkenaan kotor dan pinggan mangkuk yang sudah digunakan juga tidak dicuci serta sudah berbau.

Pengurus premis juga dilihat tidak berpuas hati dengan pemeriksaan sebelum dia ditenangkan dan diberi penerangan oleh pihak penguatkuasa.

Pemeriksaan terhadap peti sejuk beku di dapur sebuah restoran terkenal di Lebuh Chulia, di sini, hari ini. – Foto NSTP

“Kita sudah menerangkan prosedur kebersihan dan pemeriksaan ini adalah bagi memastikan premis di Pulau Pinang berada dalam keadaan baik serta selamat,” katanya lagi.

Premis berkenaan adalah antara tiga yang menerima notis penutupan selama 14 hari mengikut Undang-undang Kecil 38(1) Undang-undang Kecil (Establisymen Makanan) MBPP 1991.

Dua lagi iaitu premis nasi kandar dan restoran masakan India di Pulau Tikus pula diberi notis penutupan susulan penemuan najis tikus di bahagian dapur.

Najis tikus antara yang dijumpai di stor penyimpanan makanan sebuah restoran terkenal di Lebuh Chulia, di sini, ketika pemeriksaan oleh Jabatan Perlesenan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP). – Foto NSTP

Bawani berkata dua premis berkenaan sudah menerima beberapa kompaun sebelum ini namun didapati tidak ada perubahan atau langkah diambil pemilik premis.

“Kita sudah maklum bahawa MBPP tidak mengeluarkan lesen perniagaan kepada warga asing, namun jika didapati tiada warga tempatan di premis, kita akan ambil tindakan dengan minta mereka beri tunjuk sebab semasa pembaharuan lesen,” katanya.

Loading...
Terkini