comscore
Tumpuan :
Nasional

Nama Mahasiswa Jual Peranti Siswa Mungkin Didedah

 

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Nama penerima peranti siswa yang menjual gajet itu mungkin akan dipaparkan secara terbuka untuk pengetahuan umum di portal peranti siswa dan akan dimaklumkan kepada pihak universiti.

Itu amaran Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa terhadap individu yang menjual peranti yang diperoleh di bawah Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia.

Beliau berkata, setakat ini, terdapat 14 kes penjualan peranti berkenaan dikesan di seluruh negara.

“Saya rayu penerima untuk tidak sama sekali menjual peranti itu kerana ia adalah amanah rakyat dan daripada dana rakyat, atas andaian dan kepercayaan mereka perlu peranti sedemikian dan tiada kemampuan membeli.

“Kalau peranti itu tidak memenuhi keperluan mereka, jangan buat permohonan. Tindakan menjual tidak beretika dan langgar ‘akujanji’ yang ditandatangani sewaktu terima peranti,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi di sini hari ini.

Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia adalah inisiatif Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) bertujuan membantu proses pembelajaran mahasiswa Institut Pengajian Tinggi yang berada dalam kelompok B40.

Semalam, tular di media sosial mengenai tindakan mahasiswa menjual peranti siswa jenis Samsung Galaxy Tab A8 LTE bersama beberapa aksesori yang diperoleh dengan harga lebih murah dari harga pasaran.

Tan Sri Annuar berkata, peranti siswa yang diedarkan mempunyai beberapa aplikasi tertentu termasuk keupayaan untuk mengesan keberadaan peranti itu.

Katanya, K-KOM bersedia mengkaji pelaksanaan polisi ‘buy back’ bagi penerima peranti siswa untuk jual peranti mereka sekiranya mereka tidak mahu menggunakan peranti itu lagi.

“Mereka yang tidak mahu guna mungkin ada kaedah ‘buy back’ yang sesuai selepas setahun. Saya akan minta kaji kaedah ini berbanding jual peranti itu dengan harga murah, ia tindakan tidak baik,” katanya.

Setakat 18 Oktober lalu, sebanyak 474,311 permohonan untuk PerantiSiswa Keluarga Malaysia diterima melibatkan 95,882 bagi fasa pertama dan 378,429 untuk fasa kedua.

Loading...
Terkini