comscore
Tumpuan :
Nasional

Nasib 3 sekeluarga dapat perhatian PM

Gambar tular di media sosial menunjukkan tiga sekeluarga menaiki motosikal dengan bayi dilihat dilengkapi alat bantuan pernafasan. – Foto tular

KUALA LUMPUR: Kepayahan dilalui pasangan suami isteri menaiki motosikal membawa bayi mereka yang dilengkapi alat bantuan pernafasan, mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar menerusi Setiausaha Politiknya, Ahmad Farhan Fauzi, memohon orang ramai menyalurkan maklumat mengenai keluarga berkenaan.

“Mohon sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai keluarga ini untuk salurkan kepada saya di ruangan komen di bawah agar kami dapat menghubungi mereka.

“Hal ini mendapat perhatian Perdana Menteri dan insya-Allah pihak kami akan membantu keluarga ini untuk menambah baik kehidupan seharian mereka,” katanya dalam catatan di Facebook, hari ini.

Tular di media sosial, gambar tiga sekeluarga menaiki motosikal dengan isteri menggendong anak sambil memakai beg dilengkapi alat bantuan pernafasan bagi kegunaan bayi mereka.

Difahamkan, cahaya mata pasangan suami isteri itu perlu bergantung sepenuhnya kepada alat bantuan pernafasan untuk menjalani aktiviti harian.

Sementara itu, semakan di Facebook Arena Motor mendapati pasangan berkenaan dikenal pasti tinggal di Taman Kota Nelayan, Kuala Kedah di Kedah.

Pemilik akaun itu turut memaklumkan, lelaki yang hanya dikenali sebagai Azlan itu bekerja sebagai nelayan dan menerima upah harian.

“Terima kasih rakyat Malaysia yang membantu. Perkongsian daripada inbox oleh ‘follower’ (pengikut) kami.

“(Mereka) tiada kereta, dengan motosikal itulah mereka sekeluarga berulang-alik untuk ke hospital,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini