comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Nasib 4 Ahli Parlimen Sabah diumum Isnin ini

 

KUALA LUMPUR: Nasib empat Ahli Parlimen Sabah sama ada perlu mengosongkan kerusi atau sebaliknya selepas keluar BERSATU akan diumumkan Isnin ini.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul, berkata pihaknya sudah membuat ketetapan berhubung kedudukan Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang).

Bagaimanapun beliau berkata, pemakluman rasmi kepada semua empat Ahli Parlimen yang kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu hanya akan diumumkan Isnin ini.

“Isnin ini saya akan beritahu keputusan dan ketetapan apa jadi pada mereka… saya sudah dapat semua maklumat dan akan keluarkan surat kepada mereka.

“Tunggulah Isnin ini saya tidak boleh beritahu, mereka yang perlu tahu dahulu,” katanya kepada BH hari ini.

Dari kiri; Datuk Azmizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Datuk Matbali Musah (Sipitang).

Awal Disember lalu, Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan pemimpin BERSATU Sabah membuat keputusan sebulat suara untuk keluar daripada parti itu, namun kekal di bawah GRS.

Susulan itu Johari sebelum ini mengesahkan menerima notis rasmi daripada BERSATU mengenai empat kerusi Parlimen yang didakwa kosong di Sabah.

Johari dilaporkan berkata, beliau menerima surat daripada Naib Presiden BERSATU, Datuk Ronald Kiandee pada 27 Disember lalu yang meminta Speaker memaklumkan empat kekosongan itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Mengikut undang-undang antilompat parti yang dibuat melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan, Ahli Parlimen akan kehilangan kerusi jika mereka melompat ke parti lain.

Namun Pakar Perlembagaan, Prof Madya Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz, sebelum ini dilaporkan berkata, hanya Yang Dipertua Dewan Rakyat memiliki kuasa penuh untuk membuat keputusan secara bersendirian sama ada empat Ahli Parlimen Sabah yang keluar BERSATU perlu mengosongkan kerusi atau sebaliknya.

Menurut Shamrahayu, tiada keperluan undang-undang untuk Johari merujuk perkara itu kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, dan semua pihak perlu menghormati serta menerima sebarang keputusan nanti.

Katanya, ia berikutan Perlembagaan memberi kuasa penuh kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk memutuskan sama ada tindakan empat Ahli Parlimen itu melanggar Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan dan perlu mengosongkan kerusi atau sebaliknya.

Sementara itu, ketika ditanya berhubung calon Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Johari berkata sehingga kini belum ada ketetapan mengenai perkara itu.

Loading...
Terkini