SEREMBAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan merekodkan kutipan lebih RM4.5 juta hasil keseluruhan bagi bidaan nombor pendaftaran siri NEE yang dibuka dari 15 hingga 19 November lalu.
Pengarahnya, Hanif Yusabra Yusuf berkata, rekod bidaan menunjukkan harga tertinggi membabitkan nombor pendaftaran NEE 9 yang dibida dengan harga RM266,666.
Ia diikuti dengan nombor pendaftaran NEE 8 dengan harga RM188,123.
“Selanjutnya, NEE 3 dengan nilai RM158,999, NEE 7 (RM148,888) dan NEE 6 dengan nilai RM141,600.
“Siri NEE mendapat sambutan yang amat baik daripada pembida-pembida dengan jumlah penyertaan keseluruhan pembida seramai 4,661 orang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Seramai 1,936 pembida telah berjaya memenangi nombor pendaftaran masing-masing.
Hanif Yusabra berkata, siri nombor pendaftaran NEE juga adalah bidaan yang tertinggi dalam sejarah JPJ Negeri Sembilan.
Menurutnya, lima nombor yang paling banyak dibida ialah NEE 554 membabitkan seramai 19 pembida, NEE 288 (16 pembida), NEE 244 (15 pembida), diikuti dengan NEE 26 seramai 15 pembida dan seterusnya NEE 98 sebanyak 15 pembida.
“JPJ juga ingin mengucapkan tahniah kepada semua pembida yang telah berjaya menerima keputusan rasmi pada 20 November 2024 (semalam).
“Terima kasih juga kepada semua pembida yang telah menyertai bidaan ini bagi mendapatkan nombor pendaftaran kenderaan pilihan masing-masing melalui Sistem JPJeBid,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.