comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Negara pengeluar minyak sawit perlu sepakat tangani diskriminasi minyak sawit

 

 

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

BANGI: Negara-negara pengeluar minyak sawit perlu bersepakat dalam menangani isu global supaya bantahan terhadap diskriminasi komoditi berkenaan oleh Kesatuan Eropah (EU) dapat dibuat secara bersepadu, efektif dan mantap.

Pada masa sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Majlis Negara-negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) akan merangka strategi untuk memberi tekanan kepada EU supaya Malaysia dan Indonesia tidak dibuli sewenang-wenangnya.

Malaysia dan Indonesia adalah negara pengeluar minyak sawit terbesar dunia.

“Walaupun banyak perkembangan positif yang dilihat dalam industri ini, namun seperti yang kita semua sedia maklum kita juga berdepan dengan perkara negatif dan cabaran besar dalam bentuk tohmahan dan kempen terancang memburukkan minyak sawit. Bagi menangani cabaran ini, kerajaan antara lain akan terus mengeratkan hubungan kerjasama dengan negara jiran Indonesia bagi menangkis tohmahan terhadap minyak sawit oleh EU.

“Malaysia dan Indonesia akan membincangkan undang-undang (oleh EU) yang melarang penjualan minyak sawit dan komoditi lain yang dikaitkan dengan penebangan hutan melainkan pengimport boleh menunjukkan pengeluaran barangan khusus mereka tidak memusnahkan hutan,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) tahun 2022 di Ibu Pejabat MPOB di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, strategi kerjasama dengan republik berkenaan untuk menangkis kempen anti minyak sawit yang dilihat mampu memberikan tekanan kepada blok perdagangan tersebut.

Selain itu, Fadillah berkata, kementerian dan agensi di bawahnya akan meningkatkan usaha menangkis kempen anti minyak sawit dengan melaporkan fakta yang tepat mengenai kemampanan dan kebaikan minyak sawit.

“Kita perlu menunjukkan fakta bahawa minyak sawit tidak merosakkan alam sekitar sehingga memberi kesan yang negatif kepada manusia dan hidupan liar. Sebagai sebuah institusi penyelidikan dan pembangunan (R&D), MPOB perlu memastikan bahawa produk sawit yang dihasilkan sentiasa berkualiti serta mampan.

“Kita perlu tingkatkan kemampanan, produktiviti dan kualiti sebab antara cabaran yang kita hadapi selain penolakan Eropah ialah isu keselamatan makanan. Dengan krisis makanan yang dihadapi oleh dunia, maka amat penting negara mengatur strategi supaya kita tidak bergantung semata-mata kepada penghasilan komoditi tetapi perlu mempelbagaikan produk hiliran bernilai tinggi,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, keperluan minyak sawit global akan meningkat berdasarkan peningkatan populasi dunia.

Justeru, Malaysia perlu meningkatkan pengeluaran hasil dengan meningkatkan produktiviti bagi setiap hektar tanaman sawit.

Ke arah itu, Fadillah mahu MPOB lebih giat menghasilkan baka sawit hibrid yang dapat menghasilkan minyak lebih banyak dengan menggunakan keluasan tanah terhad.

“Di MPOB, saya percaya usaha ini telah dilakukan, namun hebahan dan penerimaan pakai mengenainya perlu diperhebatkan. MPOB perlu memberi tunjuk ajar dan kesedaran kepada pekebun kecil tentang kepentingan menanam benih sawit yang berkualiti kerana kesannya berterusan sehingga 25 tahun akan datang.

“Pengurusan penyakit dan perosak secara bersepadu juga amat penting bagi mengelakkan kemerosotan hasil terutamanya disebabkan oleh penyakit-penyakit sawit. Inovasi perlu supaya penyelidik MPOB dapat menghasilkan pokok sawit yang tahan serangan penyakit,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, usaha perlu ditingkatkan dalam mekanisasi ladang supaya kebergantungan kepada tenaga kerja asing dapat dikurangkan dan menarik minat pekerja tempatan yang ingin berkecimpung dalam industri sawit.

Katanya, kajian menunjukkan bahawa faktor gaji, faedah dan kemudahan, persekitaran kerja dan keselamatan perlu ditambah baik bagi menarik minat golongan belia untuk melibatkan diri dalam industri pertanian negara khususnya di sektor perladangan sawit.

“Sejajar itu juga, kita perlu mengaplikasikan teknologi pertanian moden dan mengukuhkan R&D berkaitan sawit,” katanya.

Loading...
Terkini