comscore
Tumpuan :
Nasional

Negara perlu teliti simpanan air mentah

Nik Nazmi (dua kanan) bersama Tunku Puteri Intan (tiga kanan) dan Tunku Yaacob (empat kanan) memotong riben di Majlis perasmian Klinik Amal Percuma, di Wisma MAA Medicare, hari ini. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu meneliti simpanan air mentah untuk menyesuaikan kadar penggunaan dengan fenomena La Nina yang berlaku pada peringkat global.

Menteri Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata Malaysia tidak terlepas daripada perubahan iklim.

“Kita sebagai negara yang kecil akan turut terkesan dengan apa yang berlaku di peringkat global. Ketika ini, kita sedang meneliti fenomena El Nino dan La Nina. Perkara yang paling penting sekarang soal bekalan air.

“Pada tahun 1990-an, kita mengalami musim kering yang panjang beberapa negeri mengalami masalah bekalan air disebabkan simpinan air yang agak kecil. Perkara yang menjadi kebimbangan ini ialah keselamatan bekalan air kita,” katanya selepas pelancaran Klinik Amal Percuma Yayasan Amal Maaedicare dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (MRCS), di sini, hari ini.

Majlis pelancaran ini dilakukan oleh Pengerusi Kebangsaan MRCS, Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Hadir sama Pengerusi Yayasan Amal Maadicare, Tunku Yaacob Khyra.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, perubahan iklim satu perkara yang memerlukan mitigasi dan adaptasi.

“Antara usaha yang akan kerajaan laksanakan untuk memelihara hutan yang masih ada seperti hutan paya bakau. Kita antara negara yang mempunyai hutan yang paling tua dan paling baik. Hutan kita juga mempunyai penangkapan karbon yang baik.

“Kita juga akan melakukan peralihan tenaga daripada menggunakan bahan api fosil dan akan memakan masa. Kita sedang melihat sumber tenaga lain yang mempunyai elemen penjimatan tenaga. Jika kita boleh menjana tenaga seperti solar dan biojisim, kita tidak perlu menggunakan tenaga yang terlalu banyak.

“Malaysia sahaja tidak cukup untuk menangani isu ini. Disebabkan itu kita mempunyai kerjasama antarabangsa. Setiap negara mempunyai sasaran bagi mencapai matlamat untuk mengurangkan peningkatan suhu yang berlaku. Sekiranya suhu sudah meningkat melampaui sesuatu tahap akan menjadi semakin sukar kepada kita,” katanya.

Loading...
Terkini