comscore
Tumpuan :
Nasional

Negeri Sembilan akan selaraskan kenaikan gaji penjawat awam dengan Persekutuan – MB

Aminuddin (tengah) bergambar kenangan bersama pegawai kanan kerajaan negeri pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri peringkat Wisma Persekutuan di Seremban hari ini. FOTO: NSTP

SEREMBAN: Kakitangan kerajaan Negeri Sembilan akan turut menikmati kenaikan gaji seiring dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa penjawat awam bakal menikmati kenaikan gaji lebih 13 peratus, mulai 1 Disember depan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata penyelarasan itu perlu sama seperti yang akan ditetapkan kerajaan Persekutuan.

“Suka atau tidak suka apabila ia membabitkan kakitangan awam, kita kena selaraskan kerana ini membabitkan gaji, membabitkan gred yang sama di peringkat Persekutuan dan negeri,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Peringkat Wisma Persekutuan di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim.

Pada sambutan Hari Pekerja semalam, Anwar mengumumkan bahawa penjawat awam bakal menikmati kenaikan gaji lebih 13 peratus sekali gus merupakan kadar tertinggi dalam sejarah perkhidmatan awam di negara ini.

Perdana Menteri memaklumkan sebelum ini jumlah paling tinggi kenaikan gaji penjawat awam adalah pada kadar 13 peratus, namun Kerajaan Madani akan memastikan kadar kenaikan kali ini lebih tinggi daripada itu.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata perkara itu akan dibawa ke persidangan dewan undangan negeri (DUN) Belanjawan 2025.

Beliau berkata kenaikan gaji berkenaan sudah pasti akan membabitkan implikasi kewangan namun kerajaan negeri akan memastikan ia dapat dilaksanakan.

Menurutnya, walaupun kenaikan lebih 13 peratus itu hanya membabitkan gaji hakiki penjawat awam tetapi ianya juga akan membabitkan impak yang lain terutama kepada mereka yang dilantik secara kontrak.

“Kenaikan ini juga akan membabitkan mereka yang dilantik secara kontrak iaitu berkaitan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan sebagainya.”

“Malah, penetapan supaya gaji minimum adalah RM2,000 sebulan, itu juga harus diberikan perhatian,” katanya.

Difahamkan ketika ini terdapat lebih 6,600 kakitangan kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Aminuddin mengharapkan penjawat awam negeri terus komited terhadap tugas dan tanggungjawab diamanahkan apabila kenaikan gaji itu dilaksanakan kelak.

“Perdana Menteri juga ada mengingatkan kepada pegawai yang tidak capai tahap prestasi kerja yang baik akan diketepikan dalam kenaikan ini.”

“Jadi, jelas bahawa di peringkat kerajaan negeri, kita akan menggunakan pendekatan berkenaan, walaupun tidak ramai tapi mereka tidak boleh menumpang tanpa memberikan sumbangan kepada negeri dan negara,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini