comscore
Tumpuan :
Nasional

Nekad terjun Sungai Melaka elak dicekup Imigresen

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Melaka menahan 36 PATI dalam serbuan di sekitar Sungai Melaka semalam. – Foto: JIM Melaka

MELAKA: Panik melihat puluhan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Melaka memeriksa premis penjaja makanan sekitar persisir Sungai Melaka, di sini, seorang lelaki warga asing sanggup bergadai nyawa, terjun ke sungai berhadapan Kampung Morten, di sini.

Cubaan lelaki warga Indonesia berusia 20-an itu untuk melepaskan diri bagaimanapun gagal apabila dicekup penguat kuasa JIM sejurus dia berjaya berenang menyeberangi sungai.

Pengarah Imigresen negeri, Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata, kejadian berlaku semasa pihaknya menyerbu beberapa gerai menjual makanan di tepian Sungai Melaka menerusi ‘Op Selera’ yang dijalankan kelmarin bermula jam 2 petang hingga 11 malam.

Menurutnya, operasi itu yang dijalankan di sekitar Bandaraya Melaka bertujuan membanteras pendatangan tanpa izin (PATI) dan pihaknya turut menerima aduan berkaitan warga asing yang bekerja menjual makanan di sekitar Sungai Melaka.

“Sebanyak 10 premis diperiksa termasuk sebuah kelab golf, pusat mencuci kenderaan, kebun sayur dan beberapa penempatan warga asing.

“Seramai 70 warga asing diperiksa dan hasilnya kita menangkap 36 orang yang terdiri daripada tujuh lelaki dan seorang wanita Myammar, 12 lelaki dan empat wanita Indonesia, lima lelaki Sri Lanka dan tujuh lelaki Bangladesh.

“Semua yang ditahan berusia lingkungan 25 hingga 40 tahun kerana disyaki bekerja tanpa suatu pas atau permit kerja yang sah dan telah melanggar syarat pas/permit yang dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan.

Anirwan Fauzee berkata, pihaknya turut mengeluarkan 11 saman kepada majikan untuk hadir bagi membantu siasatan.

Katanya, antara kesalahan yang dikesan adalah mengikut Seksyen 6( 1)( c ) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas lawatan atau permit kerja dengan bekerja secara tidak sah.

“Operasi penguatkuasaan ini akan dilaksanakan secara berterusan bertumpu kepada lokasi ‘panas’ yang menjadi tumpuan warga asing dan tindakan tegas akan diambil terhadap majikan yang menggaji PATI dan juga pihak yang cuba mereka,” katanya.

Loading...
Terkini