comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Nelayan diminta daftar dengan LKIM untuk dapat bantuan

Ketua Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Yusoff Othman bergambar bersama sebahagian 36 nelayan yang terjejas akibat banjir di Tumpat ketika hadir pada Program Jiwa Murni LKIM dan Bantuan Banjir Nelayan di Kompleks LKIM Geting Tumpat hari ini. – FOTO: NSTP

TUMPAT: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menggesa semua nelayan di negara ini mendaftar dengan persatuan nelayan agar bantuan dapat disalurkan secara menyeluruh terutama bagi yang terkesan banjir.

Ketua Pengarah LKIM, Yusoff Othman, berkata setakat ini hanya 90,000 sahaja nelayan seluruh negara yang berdaftar dan dianggarkan 40,000 lagi, masih belum mendaftar dengan persatuan nelayan di kawasan masing-masing.

 

“Kita nak semua nelayan jadi ahli supaya kebajikan mereka terbela dan setakat ini hanya 90,000 sahaja yang berdaftar manakala melalui data daripada Jabatan Perikanan merekodkan 130,000 nelayan seluruh negara.

“Banyak manfaat yang boleh diperoleh jika nelayan mendaftar contohnya, elaun sara hidup, subsidi diesel, baik pulih dan bina rumah baharu, pinjaman tanpa faedah, pendidikan dan projek tanaman kontang.

“Paling penting pada musim tengkujuh ini, semua maklum nelayan tidak dapat turun ke laut menangkap ikan dan sudah pasti kerajaan akan salurkan bantuan berkaitan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, Yusoff hadir di Kompleks LKIM Geting, di sini, dalam program Jiwa Murni dengan menyerahkan sumbangan kepada 33 nelayan di Tumpat yang terjejas banjir.

Yang turut hadir, Pengarah Bahagian Pembangunan Masyarakat dan Pertubuhan Nelayan LKIM, Hamdan Mamat dan Pengarah LKIM negeri Kelantan, Khuzaimah Husain.

Yusoff berkata, setakat ini, seramai 1,250 nelayan di Pahang, Terengganu dan Kelantan terjejas banjir dan pihaknya menerusi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) mengagihkan bantuan wang tunai bernilai RM500 serta makanan asas.

Katanya, LKIM juga sudah mengaktifkan Bilik Gerakan Bencana LKIM di peringkat negeri dan ibu pejabat untuk menyelaras di samping membuat persiapan mengenai intervensi bantuan kepada komuniti nelayan.

“MAFS dan LKIM sentiasa komited untuk membantu meringankan beban yang ditanggung golongan sasar nelayan seterusnya menjaga kebajikan serta keselamatan mereka terjaga, selain memastikan sekuriti makanan sentiasa terjamin dalam apa jua keadaan,” katanya.

Loading...
Terkini