IPOH: Seorang lelaki yang dilaporkan terjatuh dari bot di Jeti ikan TSL Fishery, Sungai Perak, di Hutan Melintang semalam, ditemui lemas hari ini.
Mayat Ng Ka Wan, 30, ditemukan pada jarak 5.6 kilometer atau tiga batu nautika oleh bot agensi Polis Marin petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarozi Nor Ahmad berkata, 18 orang anggota bomba, polis (16), Angkatan Pertahanan Awam (tujuh dan sebuah bot) serta satu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari Teluk Intan terbabit dalam melaksanakan operasi mencari mangsa itu.
“Mayat mangsa dibawa ke pusat kawalan bomba (PKB) untuk tujuan pengesahan pihak Kementerian Kesihatan (KKM) serta pengecaman ahli keluarga terdekat mangsa sebelum diserahkan pada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Operasi tamat sepenuhnya pada 5.40 petang tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, seorang nelayan berusia 30 tahun dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh dari bot ketika sedang membaiki bot di sebuah pelantar ikan di Hutan Melintang di Bagan Datuk.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Bagan Datuk memaklumkan maklumat awal mendapati mangsa dipercayai terjatuh dari bot ketika cuba menyeberangi bot yang lain. —BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.