Tumpuan :
Nasional

Nelayan terpedaya pelaburan mata wang tak wujud, rugi RM113,000

Foto hiasan

BATU PAHAT: Akibat terjerat sindiket penipuan pelaburan mata wang asing yang tidak wujud dengan menawarkan pulangan lumayan dalam tempoh singkat, seorang nelayan kerugian lebih RM113,000.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejadian bermula apabila mangsa berusia 57 tahun mendakwa menerima mesej menerusi WhatsApp daripada individu tidak dikenali.

Menurut beliau, mangsa memberitahu bahawa individu terbabit menawarkan pelaburan mata wang asing dengan menjanjikan pulangan lebih tinggi.

“Individu terbabit memberitahu pelaburan itu hanya memerlukan modal sebanyak RM520 dan mangsa berminat akhirnya menyertai dengan memasukkan wang ke dalam akaun yang diberikan suspek.

“Mangsa diberitahu suspek sudah memperoleh keuntungan hasil pelaburan itu, namun diminta membuat pembayaran seterusnya sekiranya mahu mengeluarkan wang terbabit.

“Sejak 16 September hingga 15 Oktober lalu, mangsa membuat pemindahan wang ke dalam lapan akaun berbeza sebanyak RM113,000 bagi tujuan mengeluarkan keuntungan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya lagi, walaupun sudah memenuhi permintaan suspek, tapi malangnya wang hasil keuntungan yang diperolehnya masih belum dapat dikeluarkan, sebaliknya mangsa sekali lagi diminta membuat pembayaran seterusnya.

“Mangsa mula mengesyaki dia ditipu individu terbabit sebelum membuat laporan di Balai Polis Semerah, di sini, untuk tindakan lanjut.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini