comscore
Tumpuan :
Nasional

Nenek 83 Tahun Sempat Juga Dapat MyKad

Wan Nab memegang kad pengenalan yang baharu sahaja diterima sempena program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) JPN di Kampung Laut 3.

TUMPAT: Selama 83 tahun, Wan Nab Ismail hidup tanpa dokumen pengenalan diri apabila kelahirannya tidak didaftarkan orang tua.

Warga emas yang juga orang kurang upaya (OKU) lembam itu juga tidak menerima manfaat yang sepatutnya, seperti warga negara lain termasuk pendidikan.

Ahli keluarga Wan Nab, Zaidah Ismail, 46, berkata, Wan Nab kini hidup sendirian di rumahnya di Kampung Laut 1, di sini dan sejak lima bulan lalu, dia tidak mampu berjalan sebaliknya terlantar sahaja di atas tilam nipis.

“Kami ada juga terfikir untuk buat MyKad Mok Nab (panggilan untuk Wan Nab), tapi memikirkan dia sudah tua dan tidak tahu bagaimana ingin selesaikannya, maka kami biarkan saja.

“Hingga terfikir, bimbang jika Mok Nab sakit dan perlukan rawatan di klinik atau hospital akan timbul masalah apabila orang menyangka dia bukan warga negara, sedangkan kedua ibu bapanya adalah orang tempatan.

“Alhamdulillah, apabila kisah Mok Nab yang hidup sebatang kara diketahui pihak berwajib, wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) datang bantu, seterusnya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menguruskan masalah MyKad dan Sijil Kelahiran Mok Nab,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Terdahulu, Wan Nab menerima sijil kelahiran dan MyKad yang disampaikan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Ruslin Jusoh.

Zaidah berkata, urusan permohonan MyKad Wan Nab bermula beberapa bulan lalu dan diluluskan, sekali gus memudahkan dia mendapat bantuan kebajikan bersesuaian.

Katanya, sebelum ini kebajikan Wan Nab dipantau keluarganya selain bantuan daripada jiran termasuk Fauziah Ibrahim, 53, yang banyak menyumbang wang dan barang keperluan.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah JKM Kelantan, Azman Mat Zain berkata, susulan penerimaan MyKad itu, Wan Nab layak menerima bantuan bulanan RM500 yang bermula November ini.

“Permohonan bantuan sudah kami terima sejak beberapa bulan lalu, namun tidak dapat diluluskan kerana Wan Nab tiada sebarang dokumen pengenalan diri.

“Sebaik menerima MyKad serta sijil kelahiran yang membuktikan dia adalah warga negara, kelulusan segera dibuat,” katanya. -HARIAN METRO

Loading...
Terkini