comscore
Tumpuan :
Nasional

Nenek maut, cucu cedera nahas dua kereta

FOTO: PDRM

SUNGAI PETANI: Seorang nenek berusia 73 tahun maut manakala cucunya cedera selepas kereta Perodua Kancil yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah Mini Cooper di simpang tiga NCT, Bakar Arang, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, dalam kejadian jam 3.30 petang itu, warga emas terbabit, Lam Koi Lan yang memandu kereta Perodua Kancil cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, bagaimanapun cucunya, Teh Chia Yin, 18, mengalami kecederaan di tangan kanan dan dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

“Pemandu kereta Mini Cooper berusia 23 tahun yang peniaga tidak mengalami kecederaan. Ketiga-tiga mereka menetap di Taman Keladi, di sini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Azharuddin berkata, kereta Mini Cooper itu dikatakan dalam perjalanan dari Perindustrian Bakar Arang menghala ke Jalan Alor Setar-Butterworth manakala kereta Perodua Kancil terbabit dari arah NCT Bakar Arang.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati kereta Mini Cooper terbabit sedang bergerak lurus namun secara tiba-tiba kereta dipandu mangsa keluar dari simpang sebelah kiri terus menghalang laluan kereta Mini Cooper.

“Pemandu kereta berkenaan tidak sempat mengelak terus melanggar sisi sebelah kanan kereta mangsa sekali gus terbabas jatuh ke dalam longkang dibahu jalan (laluan bertentangan),” katanya.

Wan Azharuddin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini