Tumpuan :
Nasional

Nestlé Malaysia, Media Prima Berhad lanjut kerjasama, sumbang kepada komuniti tempatan

Menurut Nestlé Malaysia, kerjasama dengan MPB sebagai sebuah syarikat media terbesar negara mampu memberi ruang untuk hebahan yang berkesan kepada rakyat.

Oleh: Vinsla Santiran

KUALA LUMPUR: Nestlé Malaysia komited untuk meneruskan kerjasama erat yang terjalin bersama Media Prima Berhad (MPB), sebagai komitmen berterusan dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat dan menyumbang kepada komuniti tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé (Malaysia) Berhad, Juan Aranols berkata, fokus syarikat bukan hanya tertumpu kepada pengenalan produk baharu dan pengukuhan jenama, tetapi juga kepada usaha mendekati dan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia menjelang tahun hadapan.

Menurutnya, kerjasama antara MPB sebagai sebuah syarikat media terbesar negara mampu memberi ruang untuk hebahan yang berkesan kepada rakyat.

”Kami mengadakan perbincangan untuk mewujudkan kolaborasi yang baharu sekaligus tingkatkan kerjasama bagi tahun depan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan terus bekerja keras untuk memenuhi jangkaan pengguna dan memastikan jenama di bawahnya sentiasa dekat di hati pengguna.

”Sempena ulang tahun ke-75 Nestlé dan MILO di Malaysia tahun depan, Acara Ikonik MILO Malaysia Breakfast Day akan kembali diadakan pada 19 Januari 2025,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai delegasi lawatan korporat ke Media Prima di Anjung Liku, Balai Berita Bangsar di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Nestlé Malaysia, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin yang disambut oleh Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid.

Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Rafiq Razali, Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan Media Prima, Farrah Naz Abd Karim dan Pengarang Kumpulan, Jabatan Berita dan Ehwal Semasa, Rangkaian Televisyen Media Prima, Azhari Muhidin.

Dalam lawatan hari ini, delegasi yang hadir mengadakan pertemuan bersama pengurusan tertinggi Media Prima Berhad hampir sejam kemudian turut meluangkan masa melawat studio bilik berita.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini