
Oleh: Hamdi Fahmi Mohamad Zaki
KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia perlu mensyukuri dan menginsafi hakikat nikmat keamanan serta kebebasan yang dikecapi negara ini.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, nikmat keamanan dan kebebasan negara ketika ini tidak boleh dicemari dengan pelbagai polemik sehingga akhirnya menyemarakkan api permusuhan, kerana sengketa dan peperangan hanya akan meleburkan impian dan masa depan sesebuah negara, sehingga akhirnya mengundang kemusnahan kepada umat sejagat.
“Dunia sedang berhadapan dengan pelbagai krisis yang mempunyai kesan secara langsung terhadap masa hadapan generasi muda.
“Pada hemat Beta, krisis yang paling menzalimi masa hadapan generasi muda dan dunia ialah konflik bersenjata, persengketaan dan peperangan.” Baginda berkata demikian dalam Titah Diraja pada Majlis Konvokesyen ke-20 Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di sini hari ini.
“Semenjak berakhirnya Perang Dunia Kedua dalam tahun 1945, dunia tidak pernah aman daripada konflik, persengketaan dan peperangan yang meletus di pelbagai pelusuk dunia”
Jelas baginda, meskipun jutaan nyawa telah terkorban, berlaku kemusnahan harta yang dahsyat, mencetuskan konflik kemanusiaan dan memusnahkan sistem ekologi dunia, namun manusia masih enggan mempelajari dan mengambil iktibar daripada sejarah lampau.