comscore
Tumpuan :
Nasional

Nisbah penceraian: Setiap seminit, satu lafaz cerai


Oleh Aslina Abu Bakar

KUALA LUMPUR: Masalah kerapuhan dan keruntuhan institusi keluarga kian merunsingkan.

Buktinya apabila nisbah setiap satu minit terdapat satu lafaz cerai berlaku di dalam mahupun luar mahkamah.

Berdasarkan statistik tahun lalu sebanyak 56,975 kes cerai membabitkan individu beragama Islam didaftarkan berbanding 50,862 kes tahun sebelumnya.

Selangor mencatat jumlah penceraian paling tinggi hampir 10 ribu kes tahun lalu diikuti Johor (5,406 kes), Perak (4,076 kes) dan Sarawak (3,052 kes)

Menyedari hakikat itu, Pusat Bantuan Guaman Syarie (BAGUS) mengambil inisiatif menyediakan bantuan konsultasi guaman secara percuma untuk mereka yang berhadapan konflik rumah tangga.

Presiden Pusat Bantuan Guaman Syarie (BAGUS), Musa Awang.

Presiden BAGUS, Musa Awang berkata, kes peningkatan penceraian meningkat selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Peningkatan kes penceraian berpunca daripada beberapa faktor dengan penyumbang terbesar berpunca masalah kewangan, kurang persefahaman, perkembangan teknologi media dan kehadiran orang ketiga.

“Bagi membantu mereka yang mempunyai konflik ini kami akan memberi konsultasi kepada mereka khususnya berkenaan dengan undang-undang syarie,” katanya yang ditemui di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini.

Jelas Musa, sejak pihaknya melaksanakan inisiatif guaman percuma seramai enam hingga 10 orang hadir dalam tempoh tiga jam konsultasi dijalankan.

“Selain di ibu negara, beberapa negeri lain turut melaksanakan program sama membabitkan 170 panel peguam syarie iaitu di Perak, Kedah, Kelantan, Melaka dan Pulau Pinang.

“Mereka yang hadir kebanyakan berusia antara 30 hingga 50 tahun manakala peratusnya sama bagi kes ke mahkamah dan berjaya didamaikan,” katanya,

Menurutnya lagi, konsultasi percuma itu didakan setiap Isnin hingga Khamis sempena Ramadan.

Loading...
Terkini