comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Nota bantahan Malaysia terhadap Filipina selari status negara merdeka diiktiraf PBB’

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan

SEREMBAN: Bantahan Malaysia terhadap tuntutan Filipina ke atas Sabah menerusi penyerahan nota diplomatik kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres adalah selari dengan status negara ini sebagai negara merdeka dan diiktiraf PBB.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata nota bantahan itu dihantar kepada PBB susulan usaha Manila untuk mengambil sempadan laut negara ini sebagai sebahagian wilayah mereka bermula dari Sabah.

“Kita buat nota kepada pihak PBB kerana ada nota daripada pihak Filipina menyatakan bahawa dia (Manila) mengambil kira sempadan laut dari Sabah.

“Jelas sekali, jika itu jadi asas ukuran Manila, maka mereka mengatakan Sabah itu mereka punya, jadi kita buat nota bantahan kepada PBB.

“Penubuhan dan kemerdekaan Sabah serta Sarawak, bersama-sama dalam pembentukan Persekutuan Malaysia ini dibuat secara teratur, tersusun dan semua pemimpin bersetuju serta diperakui PBB.

“Tiada sesiapa atau mana-mana pihak boleh mendakwa ada kawasan di negara ini, wilayah mereka kerana Malaysia sebuah negara merdeka, berdaulat yang mana ada dalam Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak bergabung menjadi Persekutuan Malaysia,” katanya.

Mohamad berkata demikian kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Rembau, di Hotel Royal Chulan, di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata, beliau belum dipastikan sama ada perkara itu akan dibawa sehingga ke peringkat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

“Ada kemungkinan perkara ini akan dibawa sehingga ke ICJ, namun itu terpulang…tetapi sebaiknya, saya minta ia tidak menjadi sebab boleh menggugat hubungan dua hala yang amat baik antara Malaysia dengan Filipina.

“Nota bantahan yang kita hantar itu pun untuk nyatakan (pendirian) kita sebagai negara yang merdeka dan diiktiraf organisasi antarabangsa iaitu PBB,” katanya.

Untuk rekod, pertikaian membabitkan Sabah berlanjutan beberapa kali sebelum ini, yang menyaksikan bukan hanya membabitkan penyerahan nota diplomatik, tetapi juga tindakan undang-undang dan pencerobohan bersenjata.

Awal bulan ini, Mohamad mengadakan lawatan rasmi sulungnya ke Filipina dan melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr di Istana Malacanang, selain bertemu rakan sejawatannya dari Filipina, Enrique Manalo.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini