comscore
Tumpuan :
Nasional

UNSC perlu pastikan rejim Israel bertanggungjawab serangan Masjid Al-Aqsa

Foto: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Malaysia menyeru Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk menunaikan tanggungjawab yang dimandatkan untuk memastikan rejim Israel bertanggungjawab ke atas tindakan pencerobohan yang berterusan terhadap kemanusiaan.

Ia susulan serbuan terbaharu puak pelampau itu di Masjid Al-Aqsa yang turut menyerang jemaah Palestin pada Ahad lalu.

Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan, tindakan rejim zionis tersebut secara terang-terangan mengabaikan terlalu banyak prinsip undang-undang antarabangsa.

“Segala tindakan provokasi dan keganasan mesti dihentikan segera demi kepentingan keamanan dan keselamatan. Seharusnya tiada layanan yang tidak seimbang dalam menangani konflik,” menurut kenyataan itu.

Menurut Wisma Putra, serangan terhadap jemaah adalah tindakan provokasi yang disengajakan dan pencabulan terang-terangan terhadap kesucian tapak suci yang jelas bertujuan untuk mencabar sejarah dan undang-undang status Baitulmaqdis dan Al-Haram Al-Sharif.

Pada masa sama, Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa supaya berhenti daripada menutup mata terhadap rejim terbabit yang terang-terangan mengamalkan dasar aparteid.

Masyarakat antarabangsa tidak boleh terus mengabaikan serangan berterusan Israel dan dasar apartheid yang bertentangan hak asasi, kehidupan, mata pencarian dan maruah rakyat Palestin dari semua agama di tanah mereka sendiri.

“Malaysia terus berpegang teguh dengan pendirian yang berprinsip bahawa rakyat Palestin berhak ke atas negara mereka sendiri yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya,” menurut kenyataan itu.

Loading...
Terkini