comscore
Tumpuan :
Nasional

Nuklear Malaysia alu-alukan kerjasama strategik bersama negara anggota IAEA

KUALA LUMPUR: Nuklear Malaysia mengalu-alukan jaringan kerjasama strategik dilakukan bersama negara anggota Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) bagi mengarusperdanakan penggunaan teknologi nuklear secara aman di rantau Asia Pasifik.

Nuklear Malaysia dalam satu kenyataan berkata, kerjasama itu perlu kerana teknologi nuklear mempunyai kepentingannya dalam sektor sosio ekonomi negara.

“Malah pada 27 September 2022, Malaysia sudah menandatangani Practical Arrangement (PA) di Vienna, Austria bersama IAEA dalam bidang pendidikan dan latihan bagi bidang radiasi, pengangkutan dan keselamatan sisa radioaktif.

“Menerusi perjanjian itu, Nuklear Malaysia sendiri berperanan sebagai pusat latihan serantau bagi rantau Asia Pasifik.

“Pusat latihan ini bertanggungjawab dalam penganjuran kursus, pembangunan makmal dan bahan latihan serta membangunkan kepakaran dalam bidang keselamatan sinaran,” menurut agensi itu dalam satu kenyataan media, hari ini.

Agensi itu berkata, bagi memahami lebih lanjut teknologi berkenaan, ia turut menghimpun profesional, penyelidik dan penggubal dasar dari rantau Asia Pasifik untuk meningkatkan keupayaan mengenai penggunaan sumber sinaran yang selamat terhadap masyarakat dan alam sekitar.

“Melalui pendekatan itu peserta dapat memahami dan memperkukuhkan perlaksanaan piawaian keselamatan antarabangsa melalui pembangunan modal insan dalam bidang keselamatan sinaran.

“Perlindungan sinaran adalah aspek penting dalam pelbagai industri termasuk perubatan, tenaga dan penyelidikan di mana penggunaan bahan radioaktif dan sumber sinaran memerlukan pengawalan ketat bagi mengelakkan risiko kepada kesihatan manusia dan kerosakan alam sekitar,” menurut kenyataan itu.
Inisiatif itu dilaksanakan melalui kursus antarabangsa Pendidikan PascaSiswazah Ke-18 Mengenai Perlindungan Sinaran & Keselamatan Sumber Sinaran adalah anjuran bersama IAEA dan Kerajaan Malaysia melalui Nuklear Malaysia.

Seramai 25 peserta dari 17 negara menyertai kursus peningkatan keupayaan yang dirasmikan oleh Ketua Setiausaha, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Aminuddin Hassim.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini