Tumpuan :
Nasional

Nur Arina mungkin hanyut ke Sungai Rui – Bomba

GERIK: Bomba tidak menolak kemungkinan Nur Arina Azizan, 20, yang dikhuatiri lemas di Sungai Air Beruk, Jalan Padang Stang, Kampung Kerunai di sini, semalam sudah dihanyutkan melepasi bahagian muara sungai itu hingga memasuki Sungai Rui.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, ia susulan keadaan arus deras di Sungai Air Beruk selain jarak dari tempat kejadian ke muara itu yang bertemu dengan Sungai Rui hanya sekitar dua kilometer (km).

Beliau berkata, jika cabaran operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Sungai Air Beruk adalah arus deras, cabaran di Sungai Rui pula adalah keadaan air yang terlalu keruh hingga menghadkan visual.

Katanya, operasi SAR hari ini yang dilakukan di Sungai Rui membabitkan jarak 14 km mendapati banyak sisa kayu atau pokok tumbang berada di persisiran sungai berkenaan yang justeru pihaknya melihat kemungkinan mangsa tersangkut di bahagian berkenaan.

“Daripada Sungai Air Beruk lebih kurang dua kilometer sebelum bertemu di Sungai Rui, jadi berdasarkan keadaan arus air semalam (Ahad) dan hari ini, kita percaya mangsa sudah memasuki Sungai Rui yang mana daripada situ ada jarak sekitar 16 km sebelum bertemu pula dengan Sungai Perak.

“Berkaitan risiko atau kesukaran dalam SAR, arus air Sungai Air Beruk adalah deras namun jernih namun kesukaran di Sungai Rui adalah airnya keruh hingga menjejaskan aspek visual,” katanya ketika ditemui pemberita di Pos Kawalan Bomba (PKB) tempat kejadian itu yang berhampiran dengan Loji Pembersihan Intake Air Lembaga Air Perak (LAP), Kampung Padang Stang, di sini hari ini.

Kata Sabarodzi, operasi SAR yang memasuki hari kedua hari ini sejak mangsa mula dilaporkan hilang kira-kira jam 2.30 petang semalam (Ahad), ditangguhkan jam 6.30 petang tadi dan akan disambung semula jam 8 pagi esok.

Katanya lagi, aspek penglihatan terhad susulan air keruh di Sungai Rui memungkin operasi SAR esok akan fokus dengan khidmat Unit Anjing Pengesan K9 JBPM bagi bantu mencari mangsa.

Menurutnya, risiko lain yang ditempuhi pasukan SAR adalah adanya kawasan air berpusar yang menghalang akses pasukan pencarian untuk mencari mangsa yang kemungkinan terperangkap di kawasan itu.

“Jadi, mungkin kita terpaksa tengok kaedah lain bagaimana cara untuk mengeluarkan masa sekiranya ada di situ (pusaran). Itu juga merupakan antara ‘hotspot’ (titik panas) yang kita cuba hendak akses,” katanya.

Kata Sabarodzi lagi, JBPM Perak sendiri akan menambah logistik dan keanggotaan bagi operasi SAR yang akan disambung pagi esok, membabitkan penambahan yang menjadikan jumlah keanggotaan JBPM seramai 25 orang berbanding 18 anggota ketika ini, selain penambahan logistik dua bot.

“Esok kita akan fokus di Sungai Rui dengan menambah logistik sebanyak empat lagi bot menjadikan keseluruhan logistik JBPM sebanyak enam bot dalam SAR ini, selain anggota JBPM ditambah kepada 25 orang dengan dibantu oleh 30 keanggotaan Pasukan Bomba Sukarela (PBS),” katanya.

Operasi SAR Nur Arina hari ini membabitkan kekuatan seramai 57 keanggotaan pelbagai agensi termasuk bomba, polis, dan sebagainya di samping bantuan penduduk setempat.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini