Tumpuan :
Nasional

Nur Nasuha raih keputusan cemerlang UKKM, ditawar masuk MRSM

KOTA BAHRU: Impian pelajar cemerlang, Nur Nasuha Nusi, 13 untuk melanjutkan pelajaran di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) tercapai apabila ditawarkan ke MRSM Pasir tumboh, Kelantan bagi sesi akademik 2025.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi dusuki dalam satu hantaran di Facebook.

Nur Nasuha sebelum ini tular apabila kisahnya tidak dapat menghadiri Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM) kerana tidak mempunyai pengangkutan akibat kemiskinan keluarga.

Prihatin dengan situasi itu, Bahagian Pendidikan Menengah MARA (BPM) dan pihak MRSM Kuala Krai membantu Nur Nasuha untuk menduduki ujian serta disediakan kenderaan oleh maktab untuk mengambilnya dari rumahnya di Kampung Lubok Nibong, Bachok.

Selain itu, Asyraf berkata, beliau menerima khabar gembira Nur Nasuha berjaya memperoleh keputusan yang amat cemerlang dalam UKKM dan ditawarkan ke MRSM Pasir Tumboh.

“Kejayaan ini membuktikan bahawa kemiskinan bukan alasan dan penghalang untuk mencapai kejayaan jika diberi peluang dan sokongan yang sewajarnya.

“MARA akan terus komited membantu pelajar-pelajar luar bandar yang cemerlang, terutama daripada golongan B40 luar bandar untuk mengubah masa depan keluarga mereka melalui pendidikan.

“Hanya dengan pendidikan kita mampu mengubah nasib keluarga kita,” katanya.

Menerusi perkongsian di Facebook, Asyraf turut menghubungi Nur Nasuha untuk mengucapkan tahniah selain memaklumkan pihak MARA akan memberi bantuan dari segi yuran, bantuan bulanan, bantuan awal akan dibantu pihak MARA.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini