comscore
Tumpuan :
Nasional

Sinar Ramadan, Nurul Hidayah akhirnya kembali ke rumah selepas 18 tahun ‘berkampung’ di hospital

Nurul Hidayah dapat kembali ke rumah selepas 18 tahun ‘berkampung’ di hospital. – FOTO: Ihsan MAINS

JEMPOL: Selepas 18 tahun terpaksa ‘berkampung’ di hospital, seorang ibu tidak menyangka impian untuk membawa anak gadisnya pulang ke rumah menjadi kenyataan Ramadan ini.

Sejak disahkan mengidap penyakit Cervical Cord Myelopathy atau kerosakan saraf tunjang dan pengecutan paru-paru, Siti Nurul Hidayah Mohamad Sofi yang kini berusia 25 terpaksa menghabiskan lebih dua pertiga hayatnya di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di Kuala Pilah.

Penyakit itu menyebabkan dirinya perlu menggunakan bantuan alat pernafasan, selain hanya mampu menggerakkan bibir sebagai isyarat sekiranya mahu meminta sesuatu.

Usaha membawa Siti Nurul Hidayah pulang sudah lama, namun tertangguh disebabkan beberapa kekangan terutama dari segi kesihatan dan peralatan.
– FOTO: Ihsan MAINS

Ibunya, Dayang Lohani Awang Zain, 56 berkata, perasaannya bercampur baur apabila hasratnya membawa pulang anak ketiga daripada lima beradik itu, menjadi kenyataan.

Katanya, usaha membawa Siti Nurul Hidayah pulang sudah lama, namun disebabkan beberapa kekangan terutamanya dari segi kesihatan dan peralatan berkaitan menyebabkan ia terpaksa ditangguh.

“Gembira dan sedih semuanya ada…dalam tempoh 18 tahun itu kami sekeluarga berkorban masa dan tenaga selama 24 jam menjaganya di hospital tanpa memikirkan perkembangan dunia luar.

“Alhamdulillah dia pun ceria apabila dapat keluar dari hospital dan siapa tahu selepas ini dia dapat bernafas sendiri tanpa menggunakan bantuan alat pernafasan dengan izin Allah SWT,” katanya.

Dayang Lohani turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada warga HTAN, Yayasan Munarah dan semua pihak yang banyak membantunya sama ada secara langsung ataupun tidak dalam memastikan rawatan dan perubatan anaknya itu berjalan dengan baik.

Dia juga tidak menyangka dapat meraikan Ramadan kali ini bersama ahli keluarga selepas 18 tahun menemani anaknya di hospital.

Kisah Siti Nurul Hidayah pernah dilaporkan media pada 2015 apabila dia terjatuh dalam bilik air menyebabkannya lumpuh dan terlantar di HTAN sejak Januari 2005.

Kehidupan mereka sekeluarga sekali lagi diuji apabila bapanya, Mohd Sofi Mohamad Amin meninggal dunia setahun kemudian akibat angin ahmar dan serangan jantung, sekali gus menyebabkannya hilang tempat mengadu.

Sementara itu, keluarga Siti Nurul Hidayah Rabu lalu turut menerima kunjungan daripada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), yang akan menyalurkan bantuan seunit mesin bantuan pernafasan, set katil pesakit bersama tilam angin dan peralatan mekanikal ventilasi pernafasan seperti suction caterer (katerer sedutan), suction tubing (alat tiun sedutan) dan tracheostomy cannula (saluran trakeostomi).

Berdasarkan rekod MAINS, Dayang Lohani adalah penerima bantuan kewangan zakat secara bulanan sejak 2014 sehingga kini.

Loading...
Terkini