comscore
Tumpuan :
Nasional

Nyamuk aedes berWolbachia dicadang dilepas ke 10 lokaliti baharu

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Pelepasan nyamuk Aedes berWolbachia akan diperluas ke 10 lokaliti baharu susulan keberkesanannya menurunkan kes denggi di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata sebanyak RM4 juta setahun dana diperlukan bagi menampung kos operasi tersebut.

Jelasnya, cadangan itu diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Menangani Denggi pertama tahun ini yang dipengerusikannya, di sini hari ini.

“Program pelepasan nyamuk aedes berWolbachia telah dilaksanakan di 32 lokaliti melibatkan tujuh negeri bermula tahun 2019. Dari ini sebanyak 19 lokaliti telah lengkap dua tahun enam minggu dan penilaian keberkesanan menunjukkan penurunan kes denggi 45 peratus hingga 100 peratus berbanding sebelum pelepasan,” katanya.

Menurutnya, jawatankuasa kabinet juga mencadangkan penglibatan pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan menjadikan pelepasan nyamuk aedes berWolbachia sebagai projek angkat oleh PBT.

Kenyataan beliau dibacakan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dalam sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa kabinet terbabit.

Sejumlah 123,133 kes denggi dilaporkan tahun lalu iaitu peningkatan sebanyak 86.3 peratus, berbanding 66,102 kes bagi tempoh sama tahun 2022.

Bagaimanapun, jumlah tersebut berkurang 5.4 peratus berbanding tahun 2019 sebelum pandemik COVID-19.

Selain itu, jumlah kematian akibat komplikasi demam denggi adalah sebanyak 100 kematian dilaporkan pada tahun lalu berbanding 56 kematian bagi tempoh sama tahun 2022.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata mesyuarat jawatankuasa kabinet memutuskan supaya keupayaan sumber melalui kolaborasi dengan agensi kerajaan, agensi bukan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dipertingkat termasuk penubuhan pasukan petugas khas bersama GLC.

Turut diputuskan, mempertingkatkan keupayaan sumber melalui penyumberluaran aktiviti kawalan dan pencegahan denggi seperti semburan dan larvisiding, selain memperkukuh kepimpinan setempat melalui penglibatan ahli parlimen dan ahli dewan undangan negeri dalam jawatankuasa kawalan serta pencegahan denggi peringkat negeri dan daerah.

Mesyuarat jawatankuasa kabinet melibatkan 14 kementerian, semua pejabat menteri besar dan ketua menteri itu juga bersetuju supaya aktiviti gotong royong secara berjadual di premis seliaan kementerian, jabatan dan agensi dijadikan agenda tetap dalam jawatankuasa tindakan pembangunan peringkat daerah dan negeri.

Di samping itu, kempen dan gotong royong secara besar-besaran melibatkan pelbagai agensi kerajaan, agensi bukan kerajaan, pemimpin setempat dan masyarakat akan dilaksanakan tahun ini.

“Satu kertas memorandum jemaah menteri (MJM) akan dikemukakan dalam tempoh dua minggu yang menggariskan langkah-langkah menangani denggi untuk persetujuaan jemaah menteri. Diharapkan dengan keputusan yang diambil ini dapat meningkatkan pelaksanaan langkah-langkah kawalan dan pencegahan denggi sebelum ia menjadi lebih serius,” katanya.

Loading...
Terkini