comscore
Tumpuan :
Nasional

Obor-obor Portuguese Man o’War beracun

FOTO: NSTP

KUALA TERENGGANU: Pengunjung pantai diminta tidak menyentuh obor-obor jenis Portuguese Man o’War kerana haiwan berkenaan memiliki sengat dan racun yang sangat berbisa walaupun sudah mati.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim, berkata Portuguese Man o’War atau nama saintifiknya ‘physalia physalis’ sangat berbahaya dan memberi kesan kepada mereka yang menyentuhnya walaupun sudah mati.

Kehadiran obor-obor berkenaan di kawasan pantai adalah perkara biasa yang berlaku setiap tahun, namun ia tidak boleh dipandang remeh khususnya oleh pengunjung pantai.

“Masih ada pengunjung pantai yang tidak tahu bahaya yang akan mereka hadapi jika tersentuh atau disengat obor-obor beracun itu.

“Justeru, pihak berkuasa tempatan disaran memasang papan tanda amaran di pantai yang dikenal pasti, terutama kawasan tumpuan pelancong sebagai peringatan kepada pengunjung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis Penyampaian Amanat dan Himpunan Warga Kerja Terengganu Agrotech Development Corporation (TADC) di Wisma Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), di sini, hari ini.

Azman berkata, papan tanda amaran perlu dipasang bagi mengingatkan pengunjung agar lebih berhati-hati ketika berada di kawasan pantai.

“Saiznya yang kecil dan berwarna lutsinar membuatkan haiwan itu sukar dilihat dan boleh mengundang bahaya kepada orang ramai yang tidak menyedari kehadiran haiwan terbabit di kawasan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, antara kawasan pantai yang pernah ditemui obor-obor berkenaan adalah di Marang, Kuala Nerus, Setiu dan Besut.

Katanya, kakitangan Jabatan Perikanan Negeri Terengganu juga disaran agar sentiasa memantau beberapa pantai yang berisiko menjadi lokasi obor-obor berkenaan terdampar.

Isnin lalu, seorang kanak-kanak terpaksa mendapatkan rawatan kecemasan di klinik selepas terkena haiwan berkenaan ketika berada di Pantai Kekabu, Marang.

Bagaimanapun, kanak-kanak terbabit dilaporkan stabil selepas menerima rawatan di sebuah klinik.

Loading...
Terkini